1. Usul Pakatan Rakyat
Kepimpinan dan akar umbi Keadilan-PR tidak harus terbuai dengan kemenangan PR dalam PRU-12 dan beberapa siri Pilihanraya Kecil seperti di Parlimen Sibu. Kemenangan PR dalam menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN merupakan satu petanda bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa hak mereka diperjuang dan dijamin keadilannya. Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:
Penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat ditubuhkan secara rasmi di peringkat negeri-negeri dan sebarang penganjuran program melibatkan parti-parti komponen haruslah dibawah Pakatan Rakyat. Serentak dengan ini Sektetariat Pemuda Pakatan Rakyat akan ditubuhkan secara rasmi di peringkat pusat dan negeri.
2. Usul Pilihanraya
Pakatan Rakyat harus akur dan sedar bahawa pengundi muda memainkan peranan yang sangat besar di dalam mencorak landskap politik tanah air. Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 misalnya, menyaksikan seramai 600,000 pengundi muda dinafikan hak untuk mengundi. SPR dilihat gagal berperanan untuk menarik minat rakyat khususnya generasi muda dalam proses pendaftaran pengundi. Ini bersandarkan kepada laporan di mana dianggar lebih 4.5 juta rakyat yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:
2.1 Mekanisme pendaftaran pengundi baru oleh Keadilan amnya dan AMK khususnya diperkemas melalui strategi-strategi yang komprehensif.
2.2 Pengerusi SPR harus meletakkan jawatan pada kadar segera khususnya selepas beberapa salahlaku di dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu termasuklah yang melibatkan bidangkuasa Pengerusi SPR sendiri. Pengerusi SPR haruslah dilantik dikalangan rakyat Malaysia yang kredible dan mempunyai track record yang terbukti mempertahankan integrity dalam tugas.
2.3 SPR didesak untuk mewujudkan sistem pendaftaran pengundi baru secara automatik bagi semua rakyat Malaysia yang mencecah usia 21 tahun.
2.4 SPR mempermudahkan kaedah mengundi agar rakyat tidak mempunyai alasan untuk tidak turun mengundi pada hari pengundian.
2.5 Keadilan di peringkat pusat mewujudkan Jentera Khas untuk melakukan penetrasi kawasan luar bandar dalam dua aspek: pendaftaran pengundi baru dan penyaluran maklumat-maklumat berhubung Keadilan-PR.
2.6 SPR haruslah bertanggungjawab kepada Parlimen untuk memastikan adanya unsur semak dan periksa pada SPR dan memastikan SPR bebas dari manipulasi pihak pemerintah.
3. Usul Ekonomi
AMK merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas inisiatif Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid IBrahim yang telah membantu AMK untuk menubuhkan Yayasan Rosli Dhoby pada 14 Mei yang lepas. Yayasan ini, yang mendapat pembiayaan RM10,000.00 oleh Tan Sri Khalid nyata memberi satu suntikan semangat dan kelak akan berperanan sebagai tapak latihan anak-anak muda khususnya di Negeri Sarawak dalam prospek latihan, kepimpinan, ekonomi dan kebajikan.
Rentetan daripada itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:
3.1 penubuhan Yayasan Ahmad Boestamam yang memainkan peranan sebagai tapak penyediaan latihan kepimpinan generasi muda parti dan juga penganjuran program-program yang mensasarkan strategi menarik sokongan generasi muda untuk bersama-sama menyertai Keadilan.
3.2 Pakatan Rakyat melalui Kerajaan-kerajaan Negeri mewujudkan satu skim pinjaman mikro bagi golongan muda untuk mereka mengembangkan lagi keupayaan mereka dalam prospek ekonomi domestik dengan penglibatan dalam sektor industri
3.3 Satu Dana Sokongan Pemantapan Parti diwujudkan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan pengurusan parti di kalangan aktivis dan akar umbi parti yang selama ini telah banyak memberikan khidmat tanpa mengira material dan masa secara sukarela.
3.4 Dana untuk menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Rakyat yang bertujuan khusus untuk memberikan bantuan guaman kepada mana-mana aktivis,ahli parti ataupun individu teraniaya yang ditahan secara salah oleh pihak berkuasa kerana terlibat di dalam aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan aman dan lain-lain aktiviti,
4. Usul Politik
Dalam Kongres Khas yang lepas, Pindaan Perlembagaan meluluskan bahawa AMK akan disertai oleh ahli parti yang berusia 35 tahun ke bawah. Pun begitu, pelaksanaannya ditangguhkan sementara waktu. AMK menghormati pindaan tersebut dan menginsafi bahawa untuk terus kekal relevan di persada politik tanah air, Keadilan amnya dan AMK khususnya harus dipimpin oleh generasi muda.
AMK tidak harus menjadi jentera penggerak dan mobilisasi bawahan semata-mata. AMK harus dilibatkan di peringkat dasar strategik parti yang melibatkan pembuatan keputusan di mana AMK selaku representasi generasi muda parti harus diambil kira secara serius.
Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:
4.1. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan harus bersifat terbuka dalam menerima idea daripada kepimpinan generasi muda.
4.2 Generasi muda parti diberikan ruang di dalam kapasiti tadbir urus kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengikut latar belakang profesional dan kelayakan yang diperoleh oleh kalangan mereka.
4.3 Sebuah Sekretariat Latihan yang akan merangka Kurikulum Khas mengenai perjuangan parti diwujudkan secara rasmi dan dibentuk di peringkat pusat untuk mengendalikan Kursus Induksi Ahli Parti.
4.4 Kepimpinan dan ahli AMK diwajibkan menyertai Kursus Induksi Parti dan juga Sekolah Politik yang kini diselenggara secara khusus oleh Institut Kajian Dasar.
Jumaat, 2010 Mei 28
Tiada ulasan:
Catat Ulasan