klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Jumaat, 11 Mac 2011

Bersih 2.0 mahu dakwat kekal diguna pada PRU 13

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut tujuh reformasi sistem sebelum Pilihan Raya Umum (PRU)ke-13 berlangsung termasuk penggunaan dakwat kekal.

Mengikut kenyataan media yang dikeluarkan sekretariat Bersih hari ini, penggunaan dakwat kekal mampu menghalang pengundian berulang.

“Ia sudah dipersetujui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2007 tetapi mereka membuat pusingan U beberapa hari sebelum PRU ke-12 pada 2008 hingga membazirkan RM2.4 bilion duit pembayar cukai,” kata Bersih.

Selain itu, kenyataan sama menyebut, reformasi pengundi pos perlu kerana berpendapat kaedah sedia rigid, mudah disalah guna dan tidak perlu sama sekali.

“Pengundian pos tidak perlu diwajibkan tetapi boleh dipilih di kalangan mereka yang mahu berbuat demikian dengan alasan kukuh seperti berada jauh dari tempat mengundi.

“Ini akan membantu bukan sahaja rakyat Malaysia yang berada di luar negera tetapi juga pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Bersih dalam kenyataan sama juga percaya tujuh tuntutan itu dapat memastikan kestabilan dan keabsahan kerajaan baru kelak jika SPR dan kerajaan Persekutuan melaksanakannya.

Kata kenyataan berkenaan, reformasi tujuh perkara itu dituntut kerana 16 pilihan raya kecil (PRK) lalu menyaksikan salah guna kuasa, jentera kerajaan negeri dan taktik berat sebelah yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“SPR gagal bertindak adil dan saksama dalam mempromosi pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Paling membimbangkan ialah budaya kerajaan yang mengugut pengundi dengan ancaman mereka akan dipinggir dari pembangunan.

“Turut membimbangkan ialah budaya penyalahgunaan kuasa tanpa rasa malu oleh kerajaan untuk menukar undi dengan janji pembangunan yang sememangnya hak asas semua warganegara,” kata kenyataan itu.

Perkara lain yang turut membimbangkan, kata kenyataan itu, ialah pembelian undi menerusi pertubuhan 1Malaysia yang mula muncul menganjurkan majlis makan malam dan cabutan bertuah pada PRK Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

“SPR sepatutnya membuat laporan polis agar pertubuhan ini disiasat mengikut Seksyen 8 (Perbelanjaan), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ini memandangkan majlis makan malam dan cabutan bertuah mereka hanya berlangsung pada pilihan raya kecil dan dihadiri oleh ahli politik BN,” kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan sama, sikap memihak SPR juga jelas dalam pemilihan PRK yang menyaksikan enam daripada lapan PRK di negeri Pakatan berlangsung pada hari biasa dan menyukarkan pengundi yang menetap di luar, pulang mengundi.

“Sebagai perbandingan, enam daripada lapan pilihan raya di negeri diperintah BN pula berlangsung hujung minggu dan baki dua kerusi lagi (Batang Ai dan Batu Sapi) berlangsung serentak dengan kerusi yang sebelumnya dimiliki Pakatan,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan