klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Ahad, 10 Januari 2010

PENJELASAN MENGENAI ISU KALIMAH “ALLAH"

Merujuk kepada kenyataan kami pada 22 November 2009 mengenai perkara di atas, maka BIPPA PKR sekali lagi ingin menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, kami melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini.

Selanjutnya, kami berpandangan perjuangan untuk menegak makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah:

"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).

Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya (Al Nahl: 125 dan Al Ankabut:46).

Dr. Muhd Nur Manuty

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)

05 Januari 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan