klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Sabtu, 26 Februari 2011

Keputusan mahkamah rayuan untuk tutup perjanjian sulit SYABAS berhubung perjanjian konsesi air daripada diketahui rakyat

Syed Shahir : Keputusan Mahkamah Rayuan Mengecewakan



KUALA LUMPUR 25 FEB : Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dianggap bertentangan dengan tata kelola atau pentadbiran baik 'good governance' yang mengutamakan ketelusan dan integriti.

Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Syed Shahir Syed Mohamud meluahkan rasa kecewa dengan keputusan ini, yang nyata merampas hak rakyat dari mendapat maklumat yang memberi implikasi dalam hidup mereka.

"Rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku sebab sekarang ini kita bercakap pasal ketelusan dan tranparensi serta integriti yang sebagainya. Kalau kita bercakap pasal ini, mesti telus. Perjanjian ini melibatkan orang ramai, beri implikasi pada kehidupan orang ramai,"katanya.

Panel rayuan itu dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaleha Zahari. Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan responden mendapat akses kepada dokumen sulit berhubung perjanjian konsesi air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Dokumen berkenaan melibatkan perjanjian konsesi air dengan SYABAS dan juga satu laporan audit yang menjustifikasi kenaikan tarif air oleh syarikat itu.

Syed Shahir menegaskan alasan perjanjian ini di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak boleh digunapakai kerana ia tidak melibatkan keselamatan negara.

Beliau turut memuji usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dan Selangor dalam membentuk Enakmen Hak Kebebasan Maklumat kerana ia mampu menjadikan kerajaan lebih telus.

"Kalau dilihat di Pulau Pinang dan Selangor sudah ada insiatif untuk bida enakmen dapatkan maklumat. Sebenarnya ini usaha yang baik. Di India pun sudah ada hak mendapat maklumat selagi bukan rahsia yang mengancam keselamatan negara. Perjanjian konsesi ini perjanjian perniagaan. Sepatutnya kita tahu sebab kita terlibat," jelasnya.

Keputusan itu dibuat ke atas rayuan oleh menteri dan kerajaan Malaysia ke atas satu semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Jun, 2008 lalu membenarkan MTUC dan 13 individu lain mengakses dokumen berkenaan.

Walaupun begitu, Syed Shahir berharap agar MTUC di bawah presiden baru, Khalid Atan dapat terus memperjuangkan kes ini di Mahkamah Persekutuan dan memberi penerangan kepada rakyat terlibat agar keadilan dan hak rakyat dapat ditegakkan.

"Saya fikir lebih wajar pihak berkenaan ini buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan agar kes ini tidak dibiarkan begitu sahaja dan kena usahakan pengguna air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijelaskan apa yang berlaku di Mahkamah Rayuan supaya mereka boleh turut serta dalam Mahkamah Persekutuan nanti,"tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan