Fitnah II: Pakar kimia akui ‘cantikkan’ resume
KUALA LUMPUR: Pakar kimia dari Jabatan Kimia, Nor Aidora Saidun yang juga saksi keenam perbicaraan Fitnah II mengaku telah ‘mencantikkan’ resume beliau di dalam mahkamah hari ini.
Ia dibuat sewaktu peguam Ram Karpal bertanya tentang kursus pemeriksaan DNA helaian rambut yang tertera sebagai salah satu daripada kursus yang pernah dijalankannya.
“Anda menulis di dalam CV anda, anda mengadakan kursus tersebut. Anda mempunyai pengetahuan tentang pemeriksaan (DNA) rambut?” tanya Ram Karpal.
“Bagaimana anda boleh ada cuma sedikit pengetahuan sedangkan anda mengadakan kursus tersebut?” tanya Ram Karpal lagi.
“Saya ‘conduct’ tapi bukan saya yang beri ceramah, tetapi dua orang pegawai polis dari Australia,” kata Aidora.
“CV anda menyatakan anda ‘conduct’ kursus tersebut tetapi anda tidak memberi ceramah. Jadi anda terlibat dengan perkara seperti penyediaan kopi, langsir yang sesuai, meja…begitu?” tanya Ram Karpal.
Aidora merupakan pakar kimia kedua dari Jabatan Kimia dan beliau kali pertama disoal balas pada Rabu lalu.
Beliau adalah Ketua Unit Paterniti DNA, Jabatan Kimia sejak 2008 dan menyertai Jabatan Kimia, Kementerian Sains dan Teknologi sejak 1998.
Namun, disebabkan beliau mengemukakan dokumen kompilasi statistik populasi di Malaysia sebanyak tiga muka surat yang sebelum ini tidak pernah dikemukakan di mahkamah, pasukan peguam Anwar memohon sedikit masa daripada Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk meneliti dokumen tersebut.
Semalam pasukan peguam Anwar berjaya menimbulkan keraguan terhadap peralatan analisa DNA yang digunakan Jabatan Kimia Malaysia.
Ini kerana tiga peralatan tersebut, Genetic Analyser 3XL300, Sequence Detector 7000 dan Thermo Cycler 9700, diselenggara pada kali terakhir sekitar Mei 2008. Semenjak tarikh itu, ia tidak pernah lagi diselenggara.
Demikian dinyatakan Pengurus Projek dan Servis ATP Service, Alan Tiang kepada mahkamah semalam. Alan adalah individu yang bertanggungjawab menyelenggara peralatan tersebut.
Lebih menghairankan, selenggaraan yang dilakukan Alan tidak pernah diiktiraf oleh Applied Biosystem Sdn Bhd, syarikat berpengkalan di Amerika yang berhenti beroperasi sejak tahun 2005.
Satu-satunya ‘kelayakan’ Alan adalah beliau pernah berkhidmat dengan Applied Biosystem. Namun, beliau tidak pernah diberikan tauliah oleh syarikat tersebut untuk menyelenggara peralatan itu selepas mereka menghentikan operasi pada 2005.
Beliau memberitahu mahkamah selenggaraan yang dilakukan menerusi ATP Service adalah berdasarkan ‘pengalaman’ dan ‘kepakaran’ sahaja.
Mahkamah semalam juga ditunjukkan rakaman CCTV tempat yang didakwa berlakunya Fitnah II tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan