Isu pluralisme agama tidak berbangkit di negara ini kerana semua umat Islam sedar dan yakin bahawa satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah adalah Islam.
“Ini adalah keyakinan umat Islam dan bukan menjadi masalah di negara ini. Yang menjadi masalah adalah penghayatan ke atas agama,” kata anggota Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis dekat sini.
Saifudin yang juga Setiausaha Agung PKR dipercayai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib agar umat Islam tidak terjebak dalam pluralisme agama.
Najib dipercayai cuba menjuarai isu ini bersama dengan para penguasa agama dalam Umno yang cuba menyerang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dituduh menerima konsep pluralisme agama iaitu menyamakan semua agama yang dinafikan sama sekali oleh Anwar.
Bagi Saifudin, antara masalah penghayatan Islam yang utama adalah mematuhi tuntutan asas bagi umat Islam termasuk menutup aurat.
Antaranya, kata Saifudin, pihak berkuasa Umno tidak perlu forum Maulidul Rasul kalau tidak berani untuk sebut kepada Perdana Menteri perkara paling asas sekali.
“Wahai Perdana Menteri, sudi apa kiranya menerima pandangan kami, bahawa kewajiban suami nombor satu adalah memerintahkan atau mengarahkan isterinya agar menutup aurat, sebagai salah satu tuntutan Islam, agama yang diterima di sisi Allah.
“Boleh buat tak perkara ini agak-agaknya…itu isunya bukan kepelbagaian agama,” kata Saifudin kepada pemimpin dan penguasa agama yang berada dalam Umno.
Bagi Saifudin, isu di negara ini sekarang bukan Islam dan kepelbagaian agama tetapi rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, jurang yang besar antara kaya dan miskin, kroni pemerintah kaut harta dan yang miskin tetinggal.
Kalah Umno, yang naik Melayu juga
Saifudin juga menyelar usaha Umno dan medianya yang cuba melebelkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai perkara negatif demi untuk mempertahankan kuasanya.
“Umno dan media menggambarkan seolah-olah pemimpin Pakatan Rakyat mengkhianati orang Melayu, derhaka kepada raja, kuda tunggangan kepada orang Cina khususnya DAP supaya Melayu tidak bersama dengan kita,” kata Saifudin.
Mereka juga, katanya, menggambarkan, jika Umno atau BN kalah dalam PRU ke 13 nanti, maka negara ini akan di perintah oleh orang asing atau yang bukan Melayu.
“Itulah gambaran yang mereka cuba bagi. Padahal, kalau kalahnya Umno yang akan naik adalah pemimpin PKR dan PAS yang Melayu dan beragama Islam,” kata Saifudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan