SARAWAK: Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian sedia mengemukakan bukti dalam perdebatan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengenai isu Hak Tanah Adat (NCR) di negeri itu.
Baru dalam satu kenyataan berkata, beliau gembira dengan persetujuan Taib dan meminta Pengerusi BN itu serius mengenainya.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana menyahut cabaran berdebat dan berharap kebenaran diketahui menerusi debat itu nanti. Mengenai permintaan Ketua Menteri akan bukti-bukti, kami ingin memberitahu beliau bahawa segala-galanya sudah kami sediakan,” kata Baru.
Isu untuk berdebat itu tercetus apabila seorang pemimpin BN Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mendakwa kononnya isu melibatkan NCR sudah lapuk, menyebabkan Baru mencabar supaya Taib Mahmud sendiri berdebat mengenai isu itu.
Namun Taib cuba berdolak dalik apabila meminta bukti berkaitan tanah adat tersebut ditunjukkan terlebih dahulu, sebelum menerima cabaran debat dengan Baru Bian.
Mengulas lanjut, Baru yang juga seorang peguam berkata, lebih 200 kes mengenai tanah adat sudah dikemukakan ke mahkamah dan sehingga kini kekal tertangguh.
“Kami ingin menarik perhatian bahawa bukti-bukti cukup banyak yang kami kemukakan ke mahkamah untuk lebih 200 kes NCR dan belum lagi didengar. Kami juga akan mengemukakan bukti-bukti tambahan kepada bukti-bukti yang ada di mahkamah dan isu ini bukanlah isu lapuk.
“Kami berharap Ketua Menteri tidak akan berpura-pura jahil akan bukti-bukti itu sebagai alasan untuk mengelak dari debat,” tegas Baru.
Sehubungan itu beliau turut meminta Taib memilih tarikh dan lokasi sesuai berhubung debat tersebut agar mudah untuk rakyat hadir mendapat penjelasan lanjut.
“Dengan kesanggupan Ketua Menteri untuk berdebat, kami mencadangkan beberapa tarikh padanya: Sabtu 5 Mac, Ahad 6 Mac atau Khamis 10 Mac. Masa dan tempat adalah pilihan beliau. Ketua Menteri, sila pilih satu tarikh.
“Kami juga ingin mencadangkan para akademik Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang begitu arif dan faham akan isu-isu NCR untuk mempengerusi kan debat itu nanti.
“Kami seterusnya mencadangkan agar debat itu diadakan di tempat awam yang luas seperti Borneo Convention Center Kuching atau di Stadium Perpaduan di Petrajaya bagi memudahkan orang awam datang dan mendengar pandangan dan pendapat Ketua Menteri dan saya sendiri,” ujar Baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan