klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Isnin, 28 Mac 2011

Subsidi: Pengguna Thailand lebih beruntung daripada Malaysia

(Rafizi Ramli)

Kebelakangan ini subsidi seolah-olah perkataan kesat digunakan golongan berkuasa di negara ini. Subsidi dipersalahkan apabila defisit fiskal negara semakin meningkat sehingga dikatakan mampu membawa Malaysia ke arah jalan sama dilalui Greece dan Ireland baru-baru ini.

Penghapusan subsidi kini menjadi misi kebangsaan.

Memang eloklah rakyat Malaysia semakin sedar tentang kelebihan dan kekurangan sistem masyarakat yang terlalu bergantung kepada subsidi. Sikap bergantung kepada subsidi untuk mengawal harga minyak atau angan-angan bahawa harga minyak kita akan terus kekal pada harga sekarang untuk jangka masa yang boleh dijangka amat tidak realistik kerana sumber hidrokarbon mempunyai hadnya.

Sekalipun kita mempunyai simpanan minyak dan gas lebih besar yang boleh bertahan 100 tahun lagi, tidak wajar membazirkannya kerana bahan bakar yang diberi murah akan menjadi lebih mahal untuk dihasilkan dalam masa 20 tahun akan datang.

Rakyat Malaysia yang waras pasti memahami lama-kelamaan kita terpaksa meneruskan hidup tanpa subsidi bahan bakar.

Bezanya adalah cara debat hebat berhubung subsidi terpilih dilakukan kerajaan, terutama berkaitan subsidi besar bagi gas yang diberi kepada sektor tenaga serta jumlah hutang bagi caj perkhidmatan yang terpaksa diserap rakyat setiap tahun.

Kedua-duanya jelas terlihat dalam mana-mana kaedah pengurangan defisit fiskal.

Untuk rekod, bajet kebangsaan bagi 2011 memperuntukkan 8.7% daripada bajet operasi berjumlah RM212 bilion untuk caj khidmat hutang bagi semua pinjaman diambil dan dijamin Kerajaan Persekutuan.

Ini berjumlah RM18.4 bilion bagi faedah dan bayaran prinsipal setahun. Jumlah itu pasti terngiang-ngiang dalam pemikiran golongan yang tahu kira-kira di sebalik subsidi di Malaysia kerana ia jauh lebih tinggi daripada subsidi bahan bakar dan makanan ditanggung Kerajaan Persekutuan setiap tahun.

Apabila harga minyak mentah melonjak pada 2008, jumlah subsidi bahan bakar ditanggung kerajaan merupakan RM15 bilion (berdasarkan data Pemandu). Mengikut keadaan biasa apabila harga minyak mentah di antara AS$65 dan AS$85 setong, anggaran subsidi bahan bakar adalah antara RM9 bilion dan RM11 bilion setahun.

Sehubungan itu, hakikatnya – sekalipun harga minyak mentah sekali lagi melonjak seperti pada tahun 2008 (yang belum berlaku setakat ini) , jumlah keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan tetap lebih rendah daripada caj khidmat hutang.

Dalam keadaan biasa, Malaysia membelanjakan dua kali ganda wang rakyat untuk membayar hutang terkumpul sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mencapai RM407 bilion pada akhir 2010.

Berikutan itu, walaupun wajar memfokuskan terhadap penghapusan subsidi sebagai cara mengurangkan defisit fiskal kebangsaan, rakyat mesti terus memberi tekanan untuk mendapatkan pelan konkrit bagi mengurangkan caj khidmat hutang untuk tahun-tahun akan datang.

Pembayaran hutang merupakan punca utama dan tiba masanya rakyat memandang realiti terutama dalam pada kerajaan tergesa-gesa mengeluarkan bon bagi membiayai projek-projek mega bernilai bilion ringgit diumumkan di bawah ETP.

Kita tidak sepatutnya terus obses dengan penghapusan subsidi sehingga terlepas pandang terhadap hutang yang dikumpulkan Kerajaan Persekutuan setiap tahun.

Wajarkah langkah berjimat cermat diambil untuk mengurangkan bajet kebangsaan supaya kita mengurangkan pinjaman tahunan bagi membiayai defisit kita? Bolehkah kita terus hidup dengan pertumbuhan ekonomi sederhana dalam pada kita menangani masalah hutang tinggi?

Saya tiada jawapannya, tetapi lambat laun kita akan sampai peringkat yang tak dapat dielak lagi jadi eloklah memulakan diskusi umum itu sekarang. Macam mana pun, setiap rakyat Malaysia pasti setuju bahawa menghapuskan rasuah dan amalan buruk dalam kerajaan akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap hutang.

Soalan ekonomi seterusnya yang patut difikirkan dalam mana-mana debat berhubung subsidi adalah berhubung subsidi gas bernilai RM19 bilion yang diberikan kepada sektor tenaga setiap tahun.

Ini memang isu sensitif buat PETRONAS yang mengeluh setiap tahun bahawa ia seperti membakar RM19 bilion semata-mata mahu memastikan tarif tenaga elektrik pada tahap yang kononnya rendah.

Sekalipun kita mempunyai simpanan gas tidak terhingga (dan hakikatnya, tidak) pembakaran gas asli sebanyak itu setiap tahun membahayakan alam sekitar selain merupakan pembaziran ekonomi sedangkan keuntungan lebih tinggi boleh diraih jika ia digunakan dengan cara lain (sama ada sebagai LNG atau stok suapan untuk bahan kimia yang diproses).

Penyokong subsidi gas berjumlah RM19 bilion untuk sektor tenaga pasti menghujahkan bahawa ia perlu untuk membantu rakyat kerana tarif lebih murah itu memanfaatkan rakyat secara langsung.

Itu merupakan hujahan politik yang serupa dengan hujahan ekonomi bahawa subsidi tenaga perlu untuk menjadikan Malaysia sentiasa kompetitif sebagai pusat pengeluaran.

Pada pandangan saya, kelompongan wujud dalam kedua-dua hujahan itu.

Kajian Jeff Rector dari Universiti Stanford mendapati, rakyat (pengguna bukan perniagaan dan bukan industri) hanya menggunakan 19% daripada keseluruhan elektrik dijana di Malaysia pada 2005.

TNB juga membuat beberapa perubahan kepada struktur tarif awam, sedangkan kemungkinan besar tiada kenaikan tarif sekiranya subsidi gas dihentikan secara berperingkat.

Sektor industri dan komersial wajar bimbang apabila sebarang cadangan menghentikan subsidi gas kepada sektor tenaga dibuat secara berperingkat kerana merekalah yang perlu menanggung kerugian berikutan menggunakan 81% daripada keseluruhan tenaga elektrik dijana.

Bagaimanapun, di sinilah persoalan praktikal dan falsafah berhubung subsidi gas memerlukan perbincangan mendalam (yang dengan mudahnya diabaikan kerajaan ):

Pertama – wujud kelopongan besar antara usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu modal inovasi dan kreativiti lebih tinggi; dengan dakwaan bahawa sektor industri kita akan terus dilindungi melalui tarif elektrik murah yang dibayar kerajaan.

Sebuah ekonomi yang masih mendapat manfaat daripada ‘kebajikan’ diberikan kerajaan (sama ada dalam bentuk kontrak lumayan atau subsidi) pasti akan melawan sebarang usaha ke arah pembaharuan struktur kerana memang lazim bagi manusia mengkehendaki cara yang paling mudah.

Buat apa menyusahkan diri melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk mengubah struktur ekonomi sedangkan industri kita masih mampu meraih keuntungan tinggi dengan mengeluarkan produk rendah teknologi dan kandungan kreatif berikutan kos pembuatannya disamarkan dengan subsidi kerajaan?

Kedua – walaupun ada pandangan bahawa industri kita masih memerlukan sejenis subsidi untuk mengekalkan daya saing, data ekonomi dan tarif jelas menunjukkan subsidi gas RM19 bilion itu tidak bererti nilai tarif lebih rendah. Ada kelopongan besar yang perlu ditangani.

Thailand merupakan contoh baik bagaimana tarif lebih murah boleh diperolehi tanpa membelanjakan terlalu banyak untuk ‘subsidi korporat’ dalam bentuk subsidi gas gergasi kepada sektor tenaga setiap tahun.

Harga gas yang dijual kepada sektor tenaga di Thailand ditetapkan dengan harga pasaran gas dibeli secara domestik dan daripada kontrak bekalan jangka panjang negara jiran pembekal (seperti Myanmar).

Selain harga gas mentah, formula itu merangkumi caj bagi tarif saluran paip, margin pemasaran serta indeks harga pengguna , pergerakan pertukaran wang asing serta indeks harga pengeluaran.

Pendek kata, pengeluar tenaga di Thailand membayar harga pasaran untuk gas – hampir pada harga RM31 per mmbtu apabila harga minyak mentah mencapai harga AS $100 setong (bandingkan dengan RM10.70 per mmbtu yang dijual kepada sektor tenaga di Malaysia).

Menariknya (dan malangnya), tarif elektrik Thailand jauh lebih murah daripada Malaysia walaupun Malaysia mempunyai sistem subsidi tinggi untuk kononnya memastikan tarif elektrik rendah.

Pengguna persendirian di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh buat 150 kWh pertama digunakan; berbanding tarif Malaysia bagi penggunaan setara sebanyak 22 sen per kWh. Ini merupakan perbezaan 22% lebih tinggi daripada tarif Malaysia.

Begitu juga pengguna runcit di bawah kategori ‘tarif perdagangan voltaj rendah’ membayar tarif lebih tinggi di Malaysia berbanding penggunaan tenaga elektrik setara di Thailand.

Tarifnya merupakan 37 sen per kWh di Malaysia, iaitu 48% lebih tinggi daripada tarif di Thailand berjumlah 25 sen per kWh bagi kategori penggunaan sama.

Senarai perbandingannya terlalu panjang.

Eloklah rakyat Malaysia lebih membuka mata mengenai cara ekonomi kita dilaksanakan atau ke mana wang pembayar cukai dibelanjakan. Memang bagus apabila rakyat mula berfikiran jangka panjang dan mempertikaikan daya maju sistem sosial yang terlalu bergantung kepada subsidi.

Bagaimanapun, sebarang perbincangan untuk penghapusannya mesti dilakukan secara jujur dan adil untuk semua pihak.

Buat masa ini, sikap berdiam diri berhubung subsidi gas berjumlah RM19 bilion itu dilihat hanya memanfaatkan sebilangan kecil masayarakat, atau langsung tidak menghiraukan tahap hutang awam yang membimbangkan; ini terlalu tidak adil buat negara dan generasi akan datang.

*** Diterjemah oleh Muni dari artikel asal (di sini)

*** Rafizi Ramli adalah Pengarah Stragetik KEADILAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan