Dewan Pemuda PAS hari ini mendedahkan pengakuan seorang pesara tentera yang mendakwa pernah bersubahat memanipulasikan undi pos bagi memberikan kemenangan kepada calon BN sebelum ini.Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat menulis dalam blognya Bila Kentong Berbunyi... (www.kentong-suhaizan.blogspot.com) hari ini, bahawa pengakuan itu dibuat sendiri oleh pesara tentera kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menemui wakil PAS pada 28 Ogos lalu.
Suhaizan menulis bahawa pesara tentera itu berkata dia terpaksa berbuat demikian atas arahan pegawainya, yang berdiri di belakang dan memerhati kertas undi dipangkah.Suhaizan yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pesara tersebut membuat pengakuan itu dalam pertemuan berkeanan.
Kata Suhaizan lagi, pesara tentera itu turut sama dalam perjumpaan kerana dia telah menyertai parti itu dan kini menganggotai jawatankuasa undi pos Pemuda PAS. Perjumpaan tersebut diketuai oleh naib presidennya, Salahuddin Ayub. Selain Abdul Aziz, kata Suhaizan, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga turut hadir.
Ekoran pendedahan itu, Suhaizan menulis dalam blognya, mendakwa Abdul Aziz menjawab, beliau telah banyak mendengar aduan tersebut dan tidak pasti dengan perkara itu.Ketika dihubungi Malaysiakini Suhaizan berkata, pesara tentera tersebut bersedia tampil mendedahkan perkara itu dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang selepas penamaan calon esok.
Ditanya sebab yang membuatkan pesara tentera itu berani tampil membuat penjelasan itu, Suhaizan berkata: "Kerana dia sudah bersara"."Ini usaha berterusan kita untuk terus mendesak kerajaan mengkaji semula pelaksanaan undi pos secara menyeluruh," katanya.
Usaha Malaysiakini menghubungi pesara tentera tersebut setakat ini belum berhasil.Sementara itu, Pemuda PAS juga akan menghantar surat kepada kepada komandan di kesemua lapan kem di kawasan Port Dickson bagi membenarkan parti itu berkempen dalam kem di bawah seliaan mereka."Kita akan hantar secepat mungkin," kata Suhaizan.
Ditanya sama ada tindakan itu terlalu lambat kerana tempoh berkempen akan bermula esok, Suhaizan menjawab: "Tidak apa. Kalau 30 minit pun kita cakap (kempen)".
Dalam setiap pilihan raya, perjalanan pengundian pos sentiasa mendapat bantahan pembangkang kerana dicurigai wujudnya penyelewengan yang akan memenangkan calon BN.
Dalam pilihan raya kecil pada 11 Oktober ini, kebimbangan pembangkang jelas kelihatan apabila terdapat jumlah pengundi pos yang besar sebanyak 4,620 daripada 13,664 pemilih merupakan pengundi pos. - malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan