Oleh Akmal Abdullah
BARANGKALI ramai yang mengikuti acara Anugerah Skrin 2009 pada Jumaat lalu tidak menduga sebuah telefilem arahan Erma Fatima yang tidak menjadi bualan ramai dan disifatkan sebagai underdog dalam pertandingan Kategori Drama akhirnya dijulang sebagai pemenang utama. Drama itu sudah hampir empat tahun dihasilkan tetapi baru tahun lalu ia dapat disiarkan menerusi kaca TV.
Tersasar Di Jalanmu bukan saja menang kategori utama - Drama Terbaik - tetapi menyapu bersih lima lagi kategori lain yang dipertandingkan iaitu Pengarah Terbaik Drama, Pelakon Wanita Terbaik Drama (Rosnah Mat Aris) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama (Norish Ismail) selain Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.
Pencapaian telefilem itu bukan sebarangan kerana ia dihasilkan atas kesedaran dan naluri Erma sendiri yang terdorong mengutarakan isu sosial secara realistik dengan beliau sendiri membuat pemerhatian terhadap manusia yang menghuni kawasan yang dianggap menjadi sarang tempat penagihan dadah, pelacuran, maksiat dan tempat manusia yang terpinggir.
Saya secara peribadi yang sudah menonton drama ini sebanyak tiga kali harus mengakui kekuatan naratif, pemikiran, isu yang disentuh, persoalan nilai dan moral yang dibawa dalam drama terbitan Rumah Karya Cipta Sdn Bhd, milik Erma sendiri - nyata satu cerita yang cuba mengajak masyarakat untuk merenung diri dan menyelami kehidupan manusia yang berada di lorong gelap kerana ada ketikanya bukan semua mereka yang mahu berada di tempat sebegitu tetapi keadaan yang mendesak atau memaksa. Hidup harus diteruskan dengan keadaan apa sekali pun kerana dihimpit masalah kemiskinan, terjebak dengan kongsi gelap, menjadi mangsa penipuan bapa ayam dan terpaksa mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga. Dalam kebobrokan itu masih ada kemuliaan yang boleh dicontohi.
Tema penuh noda dan dosa, kotor dan merimaskan menjadi latar tempat yang memaparkan kehidupan pelbagai rencam kehidupan manusia di Lorong Haji Taib, Chow Kit, Kuala Lumpur sememangnya satu pendekatan kepada realiti sebenar tetapi di tangan Erma beliau berjaya mengupas nilai kemanusiaan, kasih sayang, persahabatan, kekeluargaan, kejiranan dan perjuangan yang juga tumbuh segar di kalangan manusia yang menjadi penghuni kawasan itu.
Agak menarik kerana drama itu yang ada ramai watak ponda tetapi boleh disiarkan RTM. Ia adalah satu perubahan menarik kerana selama ini ramai produser dan pengarah drama kita sering menganggap RTM begitu sensitif dalam isi kandungannya termasuk tidak bertolak ansur untuk drama yang mengutarakan imej negatif seperti watak pondan atau mak nyah, pelacur menjadi protagonis dan kisah yang sering dianggap tidak menyumbang kepada perkembangan positif masyarakat.
Tetapi menerusi Tersasar Dijalanmu, RTM dilihat boleh menerima baik drama sebegini dan berjaya disiarkan kerana selain mungkin masih berkisar mengenai manusia di ‘lorong neraka’ tetapi ada falsafah kehidupan yang positif di dalamnya. Seperti mana Erma akui, ada stesen TV menolak drama arahannya itu kerana alasan tidak ada muka komersial yang membintanginya dan ceritanya memualkan, cuma RTM sudi menyiarkannya kerana elemen yang dipaparkan itu sesuai dengan Kempen Sosial Remaja pada 2006. Pujian harus diberikan pada RTM kerana berani untuk menyajikan konsep drama berkenaan.
Dengan kemenangan drama itu juga, kelmarin RTM mengadakan majlis apresiasi khas untuk Tersasar di Jalanmu di Angkasapuri.
Berbanding drama lain yang bertanding pada Anugerah Skrin 2009, pengisiannya lebih banyak bermain dengan emosi dan penderitaan watak yang meleret bak sudah jatuh ditimpa tangga atau cerita yang klise serta kurang membina pemikiran tetapi Tersasar Di Jalanmu mengolah kegembiraan, keceriaan, kesengsaraan dan penderitaan itu secara zig zag yang menarik menerusi mood manusia yang pelbagai. Kehidupan di lorong gelap dengan manusia yang berwatak hitam, putih dan kelabu di dalamnya. Dalam Tersasar Dijalanmu juga kita akan melihat situasi yang diberi gambaran jijik tetapi murni, busuk tetapi mulia dan berjiwa besar tetapi tertutup mindanya.
Dalam drama itu, selain dipaparkan mengenai manusia yang terbelanggu dengan sikap dan jalan yang mereka pilih sendiri tetapi pada sisi lain ia dimurnikan dengan penampilan watak kanak-kanak sekolah yang bercita-cita untuk menjadi seorang menteri. Kanak-kanak sekolah itu mempunyai kepandaian dalam persekolahan meskipun dunia yang dihuninya sebuah lorong jijik dengan saban hari melihat gelagat penagih dadah, pondan serta pelacur. Begitu juga watak seorang kakak yang terjebak dengan gejala mat motor dan akhirnya dia dinodai kemudian terjebak pula dengan najis dadah tetapi jauh di sudut hatinya dia masih boleh memberi nasihat dan motivasi untuk adiknya supaya berusaha gigih mencapai cita-citanya sebagai menteri supaya mengubah kawasan yang mereka diami itu.
Si ibu yang asyik mencari pendapatan dengan membuka gerai makanan tidak mengendahkan perkembangan pelajaran anaknya tetapi ciri seorang keibuan yang tetap mahu anaknya meneruskan persekolahan tetap kukuh, manakala si bapa yang tidak habis-habis suka bermain nombor ekor sekadar menjadi boneka dalam keluarga. Si abang yang malas bekerja dan memerap dalam bilik rupa-rupanya menjadi pengedar dadah tetapi stok dadah disembunyikan itu akhirnya digunakan adik sendiri sehingga terlebih dos lalu mengakibatkan maut.
Wanita muda yang menjadi mangsa penipuan suaminya terheret ke kancah pelacuran. Cubaannya melarikan diri daripada sarang maksiat itu tidak pernah berjaya sebaliknya sering dipukul, manakala seorang ibu dalam usia warga emas berjiwa penyayang terus menjadi pelacur demi mencari nafkah membesarkan anaknya yang tidak bersekolah, sehinggakan anaknya cuma setiap hari makan nasi bungkus di luar pintu rumah sedangkan ibu melayan pelanggan. Semuanya dirangkumkan Erma dengan gaya pengarahan yang kemas dalam Tersasar Di Jalanmu.
Meskipun sebelum ini kita juga pernah kerap menonton drama mengenai dunia pelacuran atau penagihan dadah, tetapi drama ini berjaya membuatkan konflik sosial manusia yang kebanyakannya Melayu secara bijak dan memberi impak kepada penonton. Seperti kata Erma: "Ia kisah yang membelenggu Lorong Haji Taib yang sedia maklum diketahui penuh dengan masalah sosial seperti dadah, pelacuran dan kongsi gelap. Namun, apa yang menyedihkan mengenang nasib kanak-kanak yang membesar di kawasan itu. Pada usia mentah yang tidak memahami apa-apa, mereka membesar dengan melihat apa yang tidak sepatutnya.”
Syabas buat Erma dan pasukan produksinya. Tersasar Dijalanmu adalah manisfestasi kehidupan di Malaysia dan negara lain betapa kemajuan dan pembangunan yang dikejar tidak akan dapat membantu semua orang kerana akan wujud insan yang terhimpit di tempat sempit dan menjadi mangsa kemajuan. Mereka yang malang itu harus dibantu. Mungkin kita sudah terlambat tetapi itu lebih baik daripada membiarkan ia berterusan.
Kata orang, kehidupan ibarat si tidur makanan si jaga, si bingung makanan si cerdik...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan