klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Jumaat, 11 Disember 2009

Kamal Hashim: Pakatan Rakyat perlu manfaatkan konvensyen pertama

Parti-parti Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen pertama pada 19 Disember nanti di Shah Alam, Selangor. Dengan slogan "Memimpin perubahan, menjana kemenangan," perhimpunan ini membawa makna yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang mahukan perubahan.

PR kini menjadi harapan kepada rakyat Malaysia untuk melihat perubahan daripada penguasaan Umno dan Barisan Nasional yang menguasai segenap ruang kehidupan rakyat, dan amat diharapkan PR melaksanakan apa yang dijanjikan sejak pilihan raya umum lalu.

Berdasarkan realiti politik Malaysia, gabungan parti ialah satu jalan untuk menewaskan BN dalam pilihan raya, yang sudah lama terlibat dalam mengatur medan pilihan raya melalui pelbagai cara.

Segala persempadanan semula, pembahagian kerusi sesama parti komponen dilakukan dengan mudah oleh BN yang selama ini tidak dicabar oleh mana-mana gabungan parti.

Sekarang ini, dengan wujudnya PR di persada politik negara, BN berdepan dengan cabaran yang besar kerana pembangkang sudah dapat bertanding sebagai satu pakatan.

Pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng dilihat mampu untuk membawa parti masing-masing ke arah kerjasama yang lebih berkesan seperti yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sekarang ini, PR perlu memikirkan dengan serius kerjasama yang lebih rapat dalam menghadapi BN yang telah mula menunjukkan tanda-tanda keretakan dalaman. Diharapkan menjelang pilihan raya umum akan datang, kerjasama PR sudah menjadi lebih rapat daripada hari ini dan mampu untuk benar-benar menjadi pilihan rakyat untuk menggantikan BN.

Benar apa yang diucapkan pemimpin-pemimpin PR, BN hanya boleh dijatuhkan oleh gabungan lain yang menyerupai BN itu sendiri. BN kuat selama ini kerana pembangkang tidak bersatu dalam pilihan raya dan kerjasama politik yang boleh menjadi pilihan lain kepada rakyat.

PR mungkin tidak perlu manifesto bersama, tetapi perlu bersetuju dalam beberapa bidang seperti ekonomi dan urus tadbir untuk memandu pemerintahan PR pada masa akan datang.

Setakat ini, dari sudut satu lawan satu dalam pilihan raya, PR sudah berjaya melaksanakan strateginya. Sekarang, PR perlu memikirkan kerjasama lain termasuk program-program apabila dapat memerintah negeri atau negara.

Apa yang berlaku di negeri-negeri dimenangi PR seperti Perak (yang sudah dirampas balik) dan Selangor boleh dijadikan kajian untuk membentuk kerjasama ini. Dua negeri ini mempunyai komposisi rakyat yang berbilang kaum dan mempunyai bandar besar dan kampung, dan ini boleh memberikan banyak program untuk difikirkan.

PR perlu memuhasabah diri melihat rekod kepimpinan mereka untuk diperbaiki. Kalau boleh, biarlah ada satu standard yang diterima oleh semua parti komponen PR untuk dilaksanakan dalam pemerintahan. Biarlah negeri-negeri diterajui PR menunjukkan contoh terbaik dalam pengurusan negeri.

Konvensyen yang bakal diadakan di Shah Alam nanti perlu menjadi medan untuk membina kerjasama yang lebih rapat, walaupun setiap parti mempunyai perbezaan dasar dengan parti-parti lain. Apa yang boleh dipersetujui perlu dipersetujui dan dilaksanakan dalam usaha mengukuhkan pakatan dalam menghadapi BN.

PR perlu ingat satu pesanan dari ahli akademik, peluang diberikan rakyat hanya sekali. Masalah dihadapi sepanjang setahun dua lalu perlu ditangani dengan baik, untuk menhadapi pilihan raya umum akan datang dengan lebih yakin.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan