klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Sabtu, 12 Februari 2011

Umat Islam Melayu Nusantara Perlu Jadi Agen Perubahan

PETALING JAYA 12 FEB : Umat Islam Melayu khususnya dari Asia Tenggara perlu ke depan dan menjadi agen perubahan untuk memimpin masa depan mereka.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menganggap proses demokrasi sebenar di rantau ini bermula dengan kefahaman ilmu yang didokong oleh golongan di alam Melayu ini.

Menurut Azmin, kesejagatan dan universalisme Islam mampu membawa umat Melayu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman atau ideologi.

"Sudah sampai masanya umat Islam Melayu Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli untuk mendepani cabaran umat, rantau dan dunia," katanya.

Azmin berkata demikian dalam ucaptama Seminar Pembangunan Pemikiran Islam Melayu di sini hari ini.

Seminar anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD) ini bertujuan meningkatkan pemikiran kaum Melayu dalam perkembangan wacana negara dan dunia.

Menurut Azmin lagi usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu perlu bermula dengan merancakkan wacana Ilmu dan pemikiran tanpa melihat pada aspek kaum semata.

Beliau merujuk pandangan sejarawan Arnold Toynbee bahawa kekuatan tamadun Islam berpunca adalah kerana ketiadaan aspek perkauman dan meraikan kepelbagaian antara budaya dengan nilai asasi murni.

"Dalam konteks Malaysia antara peranan penting intelektual Muslim adalah untuk membangun pemikiran politik berteraskan demokrasi. Kita sudah sampai di tahap wacana di mana mempersoalkan demokrasi dari barat," katanya.

Menurut Azmin, pandangan Demokrasi sebagai bertentangan dengan Islam adalah pandangan yang keliru dan wajar difahamkan semula.

Beliau menjelaskan pandangan Tokoh Pemikiran Islam Dunia, Dr Yusuf Qardhawi dalam bukunya Fatawa Muasirah atau Fatwa Kontemporari.

"Menurut Dr Yusuf, demokrasi adalah hak untuk rakyat memilih siapa yang harus memerintah dan juga menolak pemerintah yang tak disuka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tak suka...dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan bila pemimpin menyimpang. Jika ini intipati demokrasi, di mana konflik dengan ajaran Islam?," tegas Azmin.

Justeru beliau menyeru agar umat Melayu dapat melakukan perubahan serta ajakan paradigma pemikiran untuk mengubah keadaan bagi mencipta sejarah dan ketemadunan baru.

"Dalam sistem bobrok, kejahatan pasti menang lantaran orang baik terlalu longlai dan enggan cabar. Pembebasan umat dari kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah landasan bagi umat Melayu untuk membangun sumbangan ketamadunan. Ini masa kita cipta sejarah," katanya.- tv selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan