klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Ahad, 17 Oktober 2010

kemeriahan hari pencalonan PEMILIHAN 2010






saya dengan rasmi menawar bertanding MAJLIS PIMPINAN PUSAT



16 Oktober 2010 , saya telah menghantar borang penamaan calon sebagai AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT ( MPP ) . Saya mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua cabang-cabang yang telah mencalonkan saya dalam MATC tempohari . Semoga dapat diterjemahkan dalam kertas undi sewaktu pemilihan yang telah dijadualkan sepertimana yang ditetapkan oleh JPP .

Kali ini begitu ramai yang bersedia menjadi calon MPP . Pastinya sengit dan hebat . Kita raikan amalan demokrasi yang memberi ruang kepada semua ahli yang layak bertanding dari pencalonan dalam MATC menawarkandiri berada dalam saf kepimpinan tertinggi parti . Semoga perjalanan kempen dan meraih undi berjalan dalam suasana harmoni , kekeluargaan dan beretika .

Saya juga ingin mengucapkan SELAMAT BERTANDING kepada semua calon2 yang menawarkan diri bertanding dalam Pemilhan 2010 ini .

Muafakat kita menuju Putrajaya !

Sabtu, 16 Oktober 2010

azmin ali calon timbalan presiden


Mengiringi YB Azmin Ali ke penamaan calon !
Jam : 10 pagi
Tempat : HQ Parti Keadilan Rakyat

Pidato Manifesto YB Azmin
Jam 3 petang
Tempat : Dewan Sivik MPPJ

Datanglah beramai-ramai

Bajet utamakan BN, petanda pilihan raya dekat

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN.

Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

"Pembentangan bajet memperlihatkan imbuhan yang pelbagai oleh kerajaan, namun adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut?" soalnya.

Menurut Lim, bagi mempertingkatkan pendapatan negara, kerajaan harus beri tumpuan terhadap tenaga kerja yang akan menjana ekonomi.

"Mengapa perlu bangunan 100 tingkat? Mereka perlu beri tumpuan kepada orang (rakyat) yang akan menjana ekonomi. Kita perlukan skil (kemahiran) dan pengalaman. Bukan insfrastruktur mega," kata ahli parlimen Bagan itu.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka.

"Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.

"Ia tidak mencapai matlamat rakyat bawahan. Transformasi ekonomi ini tidak dapat diterjemahkan dengan bajet kepada golongan sasar tapi lebih kepada projek mega yang akan mensasarkan golongan tertentu sahaja," kata Salahuddin.

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya.

"Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

terima surat dan borang pencalonan MPP . Terima kasih 58 cabang yang mencalonkan saya


Saya telah menerima surat daripada Ibu Pejabat parti daripada Puan Janna untuk pencalonan sebagai MPP dalam pemilihan 2010 . Diberitahu saya telah dicalonkan oleh 58 cabang yang telah mengadakan MATC tempohari .

Saya ucapkan jazakallah dan terima kasih di atas sokongan dan pencalonan saya kepada semua cabang-cabang yang telah mencalonkan nama saya sebagai MPP . Jasa baik tuan / puan sangat-sangat saya hargai dan dapat diterjemahkan kepada undi .

16 Oktober 2010 , hari penamaan calon jawatan tertinggi Parti Keadilan Rakyat


16 Oktober 2010 ialah hari pencalonan semua jawatan di peringkat nasional . Calon-calon yang layak bertanding akan mengemukan borang pencalonan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat bermula jam 10 pagi hingga 6 petang .

Kali ini sudah pasti ramai tokoh-tokoh hebat akan menawarkan diri bertanding di semua jawatan iaitu Majlis Pimpinan Pusat ( MPP ) , Majlis Pimpinan Wanita , Majlis Pimpinan AMK . Pasti sengit dan hebat . Difahamkan ramai yang akan menawarkan diri bertanding di semua jawatan-jawatan yang telah ditetapkan berdasarkan perlembagaan parti .

Pelbagai persepsi , teori dan bicara kedai kopi akan terjawab esok . Siapa yang akan bertanding Presiden , Timbalan Presiden , Naib-Naib Presiden dan MPP . Begitu juga di peringkat AMK dan Wanita . Jawatan-jawatan penting parti akan menjadi tatapan dan perhatian semua ahli dan juga seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan pemilihan 2010 .

Pemilihan 2010 kali ini menggunakan kaedah terbaik , demokratik dan progresif . Seorang ahli satu undi . Diharapkan tiada sebarang kejadian negatif yang berlaku esok yang pasti sengaja diadakan bagi memburukkan reputasi parti . Insyaallah saya yakin tiada perkara yang tidak diingini berlaku .

Kita bertanding dalam suasana yang aman dan sihat . Mengimplimentasikan amalan demokrasi . Motif kita ialah menawan Putrajaya . Kali ini susana pemilihan sangat menarik . Malah juga menarik minat rakyat terhadap perkembangan parti . Diharapkan seluruh ahli Parti Keadilan rakyat akan menggunakan peluang ini untuk memilih pemimpin-pemimpin parti yang terbaik berdasarkan merit bukannya sokongan semborono .

Muafakat kita menuju Putrajaya !

Jumaat, 15 Oktober 2010

menghadiri Polling And Public Policy Development Workshop anjuran National Democratic Institute ( NDI ) di Mandarin Orental Hotel , Jakarta





bersama DS Anwar Ibrahim dalam pertemuan hormat kepada Naib Speaker DPR Republik Indonesia


12 Oktober 2010 , jam 3 petang , Kunjungan hormat Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Bapak Priyo Budi Santosa . Naib Speaker Dewan Perwakilan Rakyat ( DPR ) di Nusantara 3 , Dewan Perwakilan Rakyat , Jakarta , Indonesia .



wawancara anwar ibrahim di TV1 Indonesia : anwar ibrahim sosok reformis progresif

Saya baru sahaja tiba dari Jakarta , Indonesia . Terasa amat letih namun saya tahan untuk berkongsi pengalaman ini di sana . Saya tiba di Jakarta pada 12 Oktober 2010 . Saya diminta ikuti rombongan Datuk seri Anwar Ibrahim jam 2 petang ( waktu Malaysia - Jam 3 petang ) ke Dewan Perwakilan Rakyat ( DPR ) . Justeru kerana masih awal lagi dan perut sudah mula berkeroncong , selepas check-in di Grand Cemara Hotel di Jalan Cemara , terasa rindu untuk menjamah nasi Padang . Selepas bertanya lokasi restoran Nasi Padang yang hampir dengan hotel daripada pekerja hotel , kami terus bergegas jalan kaki ke Jalan Johar . Ahhirnya berjumpa Restoran Nasi Padang .

Masuk sahaja ke restoran tersebut , mata terpaku ke kaca TV . Kerana orang sedang diwawancara tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim . Tajuk diskusinya pun menarik ANWAR IBRAHIM SOSOK REFORMIS PROGRESIF .

DS Anwar Ibrahim benar-benar tenang menjawab soalan-soalan oleh pengacara cantik dalam segmen APA KABAR INDONESIA . Walaupun tidak dapat ikuti sepenuhnya wawancara tersebut , tetapi ianya berlegar dalam membicarakan komitmen tokoh negarawan terhadap politik , hubungan Malaysia-Indonesia dan peranan demokrasi .

Rakyat Indonesia begitu menghormati DS Anwar Ibrahim . Tokoh reformis yang disegani serta dilihat intelek. Rasa bangga dirasai .


Sabtu, 9 Oktober 2010

ISU PROJEK JALAN RM226 JUTA : AMK BERSAMA PENDUDUK KG BANGGOL DONAS MENENTANG KEZALIMAN UMNO TERENGGANU

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN NEGERI TERENGGANU

9 OKTOBER 2010

AMK Terengganu tetap berdiri teguh bersama para penduduk Kg. Banggol Donas yang dinafikan hak dan keadilan serta dizalimi apabila sejumlah 22 buah rumah bakal dirobohkan hasil daripada pembinaan projek runding terus Dana Khas Jalan daripada Kg. Jeram ke Banggol Tuan Muda berjarak 7KM menelan kos RM226 juta , iaitu bersamaan RM32 juta bagi 1KM . Projek runding terus Dana Khas tersebut telah dianugerahkan kepada MZ Hakujaya Sdn. Bhd iatu syarikat yang Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu mempunyai kepentingan .

Bukan sahaja kos projek tersebut adalah diragui dan melampau tetapi secara jelas telah berlaku pelanggaran hak asasi manusia berhubung terhadap Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan " Hak terhadap Harta", yakni harta benda seseorang tidak boleh di rampas atau di ambil tanpa diberikan pampasan yang sewajarnya dan ketidakpatuhan prosedur Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) oleh Kerajaan UMNO Negeri Terengganu .

Sehingga sekarang para penduduk Kg. Banggol Donas yang terlibat dan menjadi mangsa terhadap pembinaan jalan tersebut masih belum memperolehi notis pengambilan sepertimana yang dikehendaki mengikut seksyen 10 (Borang E) Akta Pengambilan Tanah 1960 dan pampasan masih belum dibayar oleh Kerajaan Negeri seperrtimana yang termaktub dalam Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan .

Adalah amat malang , sehingga kini tiada sebarang tindakan oleh pihak Kerajaan UMNO Terengganu bagi menjalankan sebarang perundingan dengan para penduduk kampong yang terlibat walaupun pelbagai bantahah dan aduan telah dibuat sejak tahun 2008 iaitu kepada Tuan Pengarah JKR Terengganu , Tuan Pengarah UPEN Terengganu , Tuan Ketua Pengarah JKR Pusat , YB Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu , YB Menteri Kerja Raya dan YAB Perdana Menteri Malaysia . Namun sehingga kini semua pihak menyepi dari sebarang tindakan .

Projek tersebut terus berjalan dan aktiviti pembinaan sehingga kini tidak berhenti sedangkan segala proses prosedur dan undang-undang tidak dilaksanakan sehingga sudah semakin hampir dengan kawasan perumahan penduduk .

AMK mempertikai tindakan melencongkan jajaran jalan ke arah rumah-rumah rakyat sedangkan masih ada ruang bagi pembinaan jalan tanpa mengenai rumah-rumah rakyat di Kg. Banggol Donas . Ianya seolah-olah sengaja dirancang agar jalan tersebut melalui rumah-rumah rakyat . Kami di fahamkan reka-bentuk jajaran di Kampung Banggol Donas ini bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu yang berselindung atas nama persetujuan JKK Kg. Banggol Donas. Ini adalah berdasarkan status tanah di kampung ini semuanya dalam kategori tanah pertanian/kampung kecuali tanah milik Pengerusi JKK serta keluarganya berstatus bangunan.

AMK Terengganu bersama wakil jawatankuasa Bertindak Penduduk K. Banggol Donas telah menghantar memorandum dan membuat aduan rasmi kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia ( SUHAKAM ) di Pejabat SUHAKAM , Kuala Lumpur pada 8 Oktober 2010 pada jam 10.45 pagi . Kami memohon agar SUHAKAM mengambil tindakan secara serius agar projek tersebut dihentikan dan siasatan harus dibuat terhadap tindakan perlanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO Terengganu terhadap rakyat di Kg. Banggol Donas .

AMK Terengganu akan mengambil tindakan seterusnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) agar menyiasat terhadap projek runding terus Dana Khas projek jalan tersebut yang melampau dan tidak masuk akal .Termasuk beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam memujuk , mengugut dan diyakini timbul unsur-unsur rasuah .

Pada 24 Febuari 2010 , AMK Terengganu pernah mencabar Sdr. Saiful Bahari Baharudin , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu untuk berdebat berkaitan isu kepentingan orang melayu Terengganu termasuk membincang isu projek runding terus Dana Khas tersebut malangnya beliau menolak dan terlalu penakut .

Malah sekali lagi pada 2 April 2010 , AMK Terengganu menjemput Pemuda UMNO Terengganu dan ADUN Teluk Pasu untuk berdialog dalam tajuk DIALOG RAKYAT DIDAHULUKAN . Tetapi juga turut tidak diterima oleh mereka bagi membincang isu projek tersebut .

Justeru atas prinsip keadilan dan kebenaran serta menolak kezaliman oleh Kerjaan UMNO/BN Terengganu terhadap rakyat , AMK Terengganu akan terus memberikan komitmen kepada seluruh rakyat yang dizalimi . Suara rakyat adalah suara keramat .

FARIZ MUSA

Ketua AMK Negeri Terengganu

PENGHANCUR BAHASA MELAYU ADALAH UMNO !

Bahasa Melayu hadapi cabaran semakin hebat
Okt 9, 10 10:07am

Bahasa Melayu yang dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan kini menghadapi cabaran semakin hebat kerana dihimpit budaya luar, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata orang Melayu terutama kalangan cerdik pandai turut mengalami krisis psikologi kerana apabila mereka berbahasa Melayu, mereka akan disifatkan sebagai kekampungan manakala berbahasa Inggeris akan di pandang tinggi.

"Keadaan ini amat berbeza di negara Jepun, Korea, China, Perancis dan Jerman kerana mereka maju dan berjaya berlandaskan bahasa ibunda mereka yang diguna pakai dalam sebarang urusan rasmi, perniagaan dan perdagangan serta ekonomi," katanya ketika melancarkan program Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di Melaka, semalam. - MALAYSIAKINI


Kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Datuk Seri Ali Rustam benar-benar menarik , kerana bukankah beliau dan UMNO yang bersungguh-sungguh dalam berjuang menghancurkan Bahasa Melayu dengan menyokong tindakan kerajaan memertabatkan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik .

AMK daripada awal lagi menyatakan bahawa tindakan melacurkan Bahasa Melayu dengan tindakan UMNO mertabatkan Bahasa Inggeris dalam ke dua-dua matapelajaran tersebut telah meletakkan satu fenomena yang bukan sahaja akan merosakkan jatidiri anak-anak tetapi meletakkan kegagalan yang nyata terhadap usaha yang memberikan kesan negatif terutama anak-nak kampung dan desa .

Berapa banyak wang rakyat digunakan dalam usaha memertabatkan Bahasa Inggeris dalam agenda tersebut ? Guru dibekalkan dengan laptop , LCD projektor , guru yang mengajar sains dan matematik diberikan elaun tambahan , alat bantu mengajar dan banyak lagi dijalankan bagi merealitikan tindakan dan dasar tersebut terutama oleh Kementerian Pelajaran . Tanpa kajian yang khusus , tanpa bukti yang nyata tindakan tersebut diimplimentasikan dan kesannya sehingga sekarang masih diragui dan tidak memberangsangkan .

Tindakan rakyat membantah perlaksanaan tersebut dilihat ortodoks oleh pemimpin UMNO . Sekarang nada sudah berbeza , bukan sahaja Ali Rustam , tetapi beberapa pemimpin UMNO yang lain telah bernada seperti pembangkang yang melihat kesan bahasa Melayu yang semakin terpinggir.

Wahai Ali Rustam , beberap tahun dahulu kita telah nyatakan , bahawa negara-negara yang maju seperti Jepun contohnya menggunakan bahasa ibunda mereka , mereka tetap maju dan terbilang . Pemimpin UMNO lah yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kampungan .

Alasan kita cukup jelas untuk menolak UMNO yang merupakan perosak Bahasa Melayu . UMNO bukan parti yang memperjuangkan bahasa ibunda ini . Tindakan bodoh merekalah yang mengakibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kampungan , tiada kualiti dan yang mengangkatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa tinggi dan moden .

Sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri , tindakan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mengangkat bahasa melayu sebagai bahasa internasional . Banyak lagi usaha yang dilaksanakan oleh beliau dalam memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual . Rakyat bangga menggunakan Bahasa Melayu tanpa mengabaikan penguasaan terhadap bahasa inggeris .

Penghancur bahasa Melayu adalah UMNO . Seperti pernah berlaku bila UMNO juga yang menghancurkan Jawi di sekolah-sekolah. Sehingga generasi selepas itu tidak mahir membaca jawi atau tidak tahu langsung . UMNO cuba untuk menyalah seorang individu . tetapi sebenarnya UMNO lah bertindak menghancurkan Jawi di kalangan rakyat . Sebab menteri pelajaran ketika itu adalah datangnya daripada UMNO . Pemimpin Tertinggi UMNO .

Ali Rustam dan pemimpin UMNO .. cukuplah bersandiwara . Anda dan UMNO lah yang menjadikan taraf Bahasa Melayu sedemikian rupa .

PILIHANRAYA KECIL LAGI !!!!!! MP Batu Sapi terbunuh dalam kemalangan

Ahli parlimen Batu Sapi Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun.

Chong dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di jalanSembulan-Tanjung Aru apabila bertembung dengan sebuah kereta Mercedez dari arah bertentangan pada sekitar jam 11.40 pagi ini.

Mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Chong dilahirkan pada 9 April 1956 di Sandakan. Beliau berkhawin dengan Linda Tsen Thau Lindan mempunyai empat orang anak.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Cerita Rahimi menurut versi peguam

Masih banyak yang belum diketahui tentang akuan bersumpah Rahimi Osman yang 'penting' itu, antaranya ia didakwa hanya setebal dua hingga tiga halaman sahaja.

Setelah bekas pembantu Datuk Seri
Anwar Ibrahim itu tampil mendakwa dipaksa menandatanganinya oleh dua peguam - Latheefa Koya dan Saiful Izham Ramli – kelmarin, lebih banyak persoalan berbanding jawapan yang timbul.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Latheefa yang juga ketua penerangan PKR menceritakan semula apa yang beliau tahu tentang proses merangka akuan tersebut daripada mula hingga akhir.

Berikut apa yang terjadi bermula pada 28 Jun 2008, seperti yang diceritakan semula oleh Lahteefa:

Pada 28 Jun 2008, PKR mengadakan seminar kepimpinan di Hotel Quality Shah Alam, melibatkan hampir semua pemimpin dan wakil rakyatnya.

Laporan polis Saiful Bukhari

Sehari selepas itu, ketua kakitangan pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob mendengar desas-desus khabar bahawa terdapat Mohd Saiful Bukhari Azlan akan membuat laporan polis terhadap bekas bosnya. Maka Rahimi dipanggil untuk mendapatkan maklumat berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, dia tidak dapat dihubungi buat masa itu dan hanya hadir lewat malam itu. Di hotel berkenaan ketika itu ramai penyokong dan petugas media mula berkumpul kerana khabar angin Anwar akan ditahan semula seperti di zaman reformasi sepuluh tahun sebelum itu.

Ramai 'pengawal peribadi' dan anggota parti menempah tinggal di hotel berkenaan. Anwar pula bersetuju 'bersembunyi' seketika di kedutaan Turki di Kuala Lumpur.

Rahimi tiba pada malam 28 Jun itu dengan gementar dan ketakutan. Beliau menceritakan semula apa yang beliau dengar daripada Saiful Bukhari.

Rahimi juga minta tinggal di hotel itu kerana takut dicari polis berikutan kemungkinan namanya turut disebut dalam laporan polis Saiful Bukhari. Pasukan peguam itu bersetuju memberikan perlindungan kepada Rahimi.

Rahimi kelihatan kembali tenang semula setelah beberapa hari Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar.

Bukan di bilik hotel

Beberapa pemimpin PKR yang kebetulan bertugas sebagai peguam ditugaskan menemuramah Rahimi bagi mendapatkan gambaran besar apakah sebenarnya yang berlaku ketika itu.

Selain Latheefa dan Saiful Izman, R Sivarasa turut terlibat.

Proses mendengar penjelasan Rahimi tidak dilakukan dalam bilik hotel, tetapi sebuah lounge peribadi di hotel tersebut. Bagaimanapun, semua draf akuan bersumpah dibuat dan drangka di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Akun bersumpah pertama dibuat secara tidak terperinci kerana mungkin Rahimi tidak bersedia memberitahu banyak perkara, terutamanya pembabitan Mumtaz Jaafar yang juga ibu kepada seorang kenalan sekolahnya.

Tiada pengurungan, Rahimi bebas keluar dan masuk. Malah beliau ada keluar daripada hotel beberapa kali, termasuk bagi menonton perlawanan bola sepak dengan beberapa 'pengawal peribadi'.

Selepas Rahimi dipanggil memberikan kenyataan kepada polis. Dia memberitahu tidak ditanya banyak soalan tetapi diberitahu ada kemungkinan dipanggil semula.

Tidak dapat dihubungi

Kemudian, selepas dipanggil kali kedua, Rahimi memberitahu bahawa dia ditanya sama ada pernah berjumpa dengan Rosmah dan Mumtaz.

Selepas dinasihatkan oleh peguam peribadinya ketika itu Stanley Sinnapan supaya bercakap benar, beliau menceritakan apa yang beliau tahu. Semua ceritanya tiada percanggahan dengan akuan bersumpah yang pertama.

Setiap perjumpaan dengan Rahimi tidak semata-mata berbincang soal akuan bersumpah tetapi bagi membantu pasukan pembelaan Anwar mengumpulkan maklumat.

Rahimi kemudian masuk dan keluar pejabat Anwar seperti biasa dan diberikan beberapa tugas kecil kerana dia tidak lagi bekerja secara rasmi. Dia juga terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh di mana Anwar bertanding.

Tetapi bila perbicaraan hampir bermula, apabila ketua pasukan pembelaan ditukar kepada Karpal Singh, Rahimi tidak dapat dihubungi. Dia tidak menjawap panggilan telefon dan SMS.

Kali terakhir Latheefa dan pemimpin PKR berhubung dengan Rahimi menjelang perkahwinan Rahimi hujung tahun lalu.

Selain Rahimi, terdapat beberapa orang yang berpotensi jadi saksi turut diminta membantu memberikan maklumat.

Tentang akuan bersumpah Rahimi

Akuan bersumpah itu tidak tebal. Ia hanya dua atau tiga halaman sahaja. Sebelum ditandatangan, Rahimi diminta menyemak semula drafnya beberapa kali supaya apa yang dia rasa tidak selesa boleh dibuang.

Ia ditandangan di depan pesuruhjaya sumpah di Petaling Jaya State, bukan Petaling Jaya Old Town seperti yang dinyatakan dalam laporan polis Rahimi kelmarin.

Dia tidak diberikan salinan dokumen itu “sebab tidak memintanya”. Kemungkinan sekarang Rahimi sendiri sudah lupa apa yang terkandung dalam akuan bersumpahnya.

Akuan bersumpan itu mengandungi dua bahagian, bahagian pertama tentang bagaimana dia mengenali Mohd Saiful dan pengalaman mereka bersekolah dan bekerja bersama.

Manakala bahagian kedua menceritakan tentang pertemuan Mohd Saiful Bukhari dengan Najib dan Rosmah.

(Latheefa tidak dapat ingat sepenuhnya kandungan akuan bersumpah itu kerana dokumen itu didakwa telah hilang daripada simpanannya).