PETALING JAYA 24 FEB : Pimpinan UMNO Pahang dikesan cuba merasuah lima pemimpin Parti Keadilan Rakyat negeri itu untuk membawa keluar 500 ahli PKR menjelang pilihananraya kecil Kerdau dan Merlimau pada 6 Mac depan, kata Setiausaha Agong PKR Saifuddin Nasution hari ini.
Menurut beliau, pemimpin PKR terbabit ditawarkan wang ringgit dan projek untuk mengisytiharkan diri mereka keluar parti bersama ahli-ahli peringkat cabang dalam tempoh terdekat.
Saifuddin berkata ibupejabat PKR mendapat maklumat mengenai usaha-usaha tersusun Umno untuk merasuah pemimpin PKR menjeang pilihanraya kecil Kerdau.
"Mereka dijanjikan wang dan projek untuk mengisytiharkan keluar parti dalam masa terdekat. Perkara ini perlu dipandang serius oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana tindakan merasuah pimpinan akar umbi dan wakil rakyat parti lawan semakin menjadi-jadi," kata Saifuddin dalam kenyataan yang dibacakan oleh Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
"KEADILAN membuat ketetapan untuk tidak berdolak dalik dengan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana anggota parti yang dibuktikan terbabit dengan cubaan menerima rasuah sebegini dari UMNO BN", tambah beliau.
PKR menganggap usaha tersusun UMNO cuba merasuah ahli parti itu supaya meninggalkan perjuangan mereka sebagai mencemar imej politik negara ini, kata Saifuddin.
Taktik Umno mengumumkan ahli PKR lompat parti sering digunakan menjelang pilihanraya kecil untuk menyakinkan rakyat sokongan masyarakat terhadap Umno-Barisan Nasional, kononnya, semakin kuat.
Namun, kebanyakan pengumuman itu kemudiannya didapati meleset apabila mereka yang diumumkan sebagai keluar parti itu didapati bukan ahli atau jumlahnya jauh lebih kecil daripada apa yang diuar-uarkan oleh media kawalan Umno-BN.
"Gejala ini adalah suatu kesalahan rasuah yang nyata dan sekiranya SPRM tidak memberi fokus, ia akan menjadi sebahagian dari amalan politik Malaysia, " kata Saifuddin.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Terengganu, Azan Ismail berkata desas-desus Umno bersiap sedia untuk sekali lagi mengeluarkan imbuhan bagi membeli pemimpin-pemimpin PKR peringkat negeri kuat bertiup sejak awal bulan ini.
"Sebaik saja selepas mesyuarat kabinet pertama di luar Putrajaya, ada beberapa berita terbaru mengatakan ahli PKR dikunjungi pemimpin UMNO BN untuk memujuk keluar parti," kata Azan.
"Kami mengambil insiatif untuk beri amaran keras terhadap usaha tak bermoral ini. Dahulu ada usaha menarik pemimpin peringkat tertinggi, tapi mungkin kerana gagal, mereka tumpu pula pada peringkat pertengahan dan bawahan." tambah Azan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan