klik utk download Janji Jingga PR

kawan-kawan farizmusa.blogspot.com

Jumaat, 28 Mei 2010

Usul-usul Yang Dicadang Untuk Dibahas di Peringkat Kongres Tahunan Nasional Angkatan Muda Keadilan Malaysia

1. Usul Pakatan Rakyat

Kepimpinan dan akar umbi Keadilan-PR tidak harus terbuai dengan kemenangan PR dalam PRU-12 dan beberapa siri Pilihanraya Kecil seperti di Parlimen Sibu. Kemenangan PR dalam menafikan majoriti dua pertiga Umno-BN merupakan satu petanda bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk memastikan bahawa hak mereka diperjuang dan dijamin keadilannya. Justeru, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

Penubuhan Sekretariat Pakatan Rakyat ditubuhkan secara rasmi di peringkat negeri-negeri dan sebarang penganjuran program melibatkan parti-parti komponen haruslah dibawah Pakatan Rakyat. Serentak dengan ini Sektetariat Pemuda Pakatan Rakyat akan ditubuhkan secara rasmi di peringkat pusat dan negeri.

2. Usul Pilihanraya
Pakatan Rakyat harus akur dan sedar bahawa pengundi muda memainkan peranan yang sangat besar di dalam mencorak landskap politik tanah air. Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 misalnya, menyaksikan seramai 600,000 pengundi muda dinafikan hak untuk mengundi. SPR dilihat gagal berperanan untuk menarik minat rakyat khususnya generasi muda dalam proses pendaftaran pengundi. Ini bersandarkan kepada laporan di mana dianggar lebih 4.5 juta rakyat yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

2.1 Mekanisme pendaftaran pengundi baru oleh Keadilan amnya dan AMK khususnya diperkemas melalui strategi-strategi yang komprehensif.
2.2 Pengerusi SPR harus meletakkan jawatan pada kadar segera khususnya selepas beberapa salahlaku di dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu termasuklah yang melibatkan bidangkuasa Pengerusi SPR sendiri. Pengerusi SPR haruslah dilantik dikalangan rakyat Malaysia yang kredible dan mempunyai track record yang terbukti mempertahankan integrity dalam tugas.

2.3 SPR didesak untuk mewujudkan sistem pendaftaran pengundi baru secara automatik bagi semua rakyat Malaysia yang mencecah usia 21 tahun.

2.4 SPR mempermudahkan kaedah mengundi agar rakyat tidak mempunyai alasan untuk tidak turun mengundi pada hari pengundian.
2.5 Keadilan di peringkat pusat mewujudkan Jentera Khas untuk melakukan penetrasi kawasan luar bandar dalam dua aspek: pendaftaran pengundi baru dan penyaluran maklumat-maklumat berhubung Keadilan-PR.
2.6 SPR haruslah bertanggungjawab kepada Parlimen untuk memastikan adanya unsur semak dan periksa pada SPR dan memastikan SPR bebas dari manipulasi pihak pemerintah.

3. Usul Ekonomi
AMK merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas inisiatif Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid IBrahim yang telah membantu AMK untuk menubuhkan Yayasan Rosli Dhoby pada 14 Mei yang lepas. Yayasan ini, yang mendapat pembiayaan RM10,000.00 oleh Tan Sri Khalid nyata memberi satu suntikan semangat dan kelak akan berperanan sebagai tapak latihan anak-anak muda khususnya di Negeri Sarawak dalam prospek latihan, kepimpinan, ekonomi dan kebajikan.
Rentetan daripada itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

3.1 penubuhan Yayasan Ahmad Boestamam yang memainkan peranan sebagai tapak penyediaan latihan kepimpinan generasi muda parti dan juga penganjuran program-program yang mensasarkan strategi menarik sokongan generasi muda untuk bersama-sama menyertai Keadilan.

3.2 Pakatan Rakyat melalui Kerajaan-kerajaan Negeri mewujudkan satu skim pinjaman mikro bagi golongan muda untuk mereka mengembangkan lagi keupayaan mereka dalam prospek ekonomi domestik dengan penglibatan dalam sektor industri

3.3 Satu Dana Sokongan Pemantapan Parti diwujudkan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan pengurusan parti di kalangan aktivis dan akar umbi parti yang selama ini telah banyak memberikan khidmat tanpa mengira material dan masa secara sukarela.

3.4 Dana untuk menubuhkan Pusat Bantuan Guaman Rakyat yang bertujuan khusus untuk memberikan bantuan guaman kepada mana-mana aktivis,ahli parti ataupun individu teraniaya yang ditahan secara salah oleh pihak berkuasa kerana terlibat di dalam aktiviti-aktiviti seperti perhimpunan aman dan lain-lain aktiviti,

4. Usul Politik
Dalam Kongres Khas yang lepas, Pindaan Perlembagaan meluluskan bahawa AMK akan disertai oleh ahli parti yang berusia 35 tahun ke bawah. Pun begitu, pelaksanaannya ditangguhkan sementara waktu. AMK menghormati pindaan tersebut dan menginsafi bahawa untuk terus kekal relevan di persada politik tanah air, Keadilan amnya dan AMK khususnya harus dipimpin oleh generasi muda.

AMK tidak harus menjadi jentera penggerak dan mobilisasi bawahan semata-mata. AMK harus dilibatkan di peringkat dasar strategik parti yang melibatkan pembuatan keputusan di mana AMK selaku representasi generasi muda parti harus diambil kira secara serius.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia mencadangkan agar:

4.1. Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan harus bersifat terbuka dalam menerima idea daripada kepimpinan generasi muda.

4.2 Generasi muda parti diberikan ruang di dalam kapasiti tadbir urus kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengikut latar belakang profesional dan kelayakan yang diperoleh oleh kalangan mereka.

4.3 Sebuah Sekretariat Latihan yang akan merangka Kurikulum Khas mengenai perjuangan parti diwujudkan secara rasmi dan dibentuk di peringkat pusat untuk mengendalikan Kursus Induksi Ahli Parti.

4.4 Kepimpinan dan ahli AMK diwajibkan menyertai Kursus Induksi Parti dan juga Sekolah Politik yang kini diselenggara secara khusus oleh Institut Kajian Dasar.

Khamis, 27 Mei 2010

SELAMAT BERKONGRES !!!

saya merakamkan selamat datang kepada semua perwakilan KONGRES AMK dan KONGRES NASIONAL ke 5 .
Tema kongres pada kali inin ialah HARAPAN BARU SELAMATKAN MALAYSIA .
Perasmian Kongres AMK dan Wanita akan disempurnakan oleh YB Senator Syed Husin Ali , Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat pada hari ini 27 Mei 2009 , jam 8.30 malam bertempat di Kelantan Trade Centre ( KTC ) .
Keesokkan hari iaitu 28 Mei 2010 , berlangsung Kongres AMK di Perdana Bezch Resort , Pantai Cahaya Bulan dan Kongres Wanita di KTC.
Kongres Nasional pula akan bermula pada 29 Mei 2010 bertempat di dewan yang sama . Kongres Nasional ke 5 akan berlangsung pada 29 - 30 Mei 2010.
SELAMAT BERKONGRES !

Kongres PKR mahu dedah ‘rahsia’ MP, ADUN keluar parti?

KUALA LUMPUR, 25 Mei — Selepas sebahagian besar wakil rakyat yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan ‘rahsia’ kepimpinan sepanjang tiga bulan lalu, komponen Pakatan Rakyat (PR) ini dijangka membuat ‘pendedahan balas’ sebab dan punca mereka mengkhianati parti itu hujung minggu ini.
Beberapa pemimpin yang ditemui The Malaysian Insider berkata mereka menunggu ‘lampu hijau’ pucuk kepimpinan untuk membuat pendedahan ketika Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Bharu.
“Kami mengarah ke sana, sekarang tunggu lampu hijau daripada (Penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, bila dan siapa yang perlu membuat pendedahan… kemungkinan ketika Kongres Nasional kali ini… sama ada Datuk Seri Anwar sendiri ataupun pemimpin kanan yang lain,” kata seorang pemimpin kanan parti itu, tetapi enggan namanya didedahkan atas alasan parti masih memikirkan strategi pendedahan.
“Parti sudah banyak bersabar dan kini sudah sampai masa bagi parti menjelaskan kepada perwakilan apa yang sebenarnya berlaku.
“Kita akan mendedahkan habuan yang mereka dapat, pendedahan akan dibuat melalui beberapa saluran yang akan membuktikan apa yang menjadi punca mereka mengkritik kepimpinan parti habis-habisan dan mahu keluar parti,” katanya lagi.
Menurut pemimpin ini, pendedahan mereka akan memfokus terhadap lima Anggota Parlimen yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas di Dewan Rakyat.
Malah, katanya, ia juga kemungkinan memfokus bagaimana usaha sedang diambil Barisan Nasional (BN) untuk memancing seorang lagi Angota Parlimen.
Lima Anggota Parlimen PKR yang kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas ialah wakil kawasan Bayan Baru, Nibong Tebal, Kulim-Bandar Baharu, Wangsa Maju dan Bagan Serai. Selain lima Anggota Parlimen terbabit PKR juga kehilangan lima Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu masing-masing dua di Kedah dan Perak dan seorang di Selangor.
Kecuali Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang telah dipecat oleh PKR, empat lain mengumumkan keluar parti atas alasan kecewa dengan kepimpinan dalaman PKR dan juga Pakatan Rakyat.
Ketika sesi perbahasan di Parlimen pertengahan Mac lalu, lebih sebulan selepas keluar PKR, Anggota Parlimen Bayang Baru Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli telah mendedahkan sedikit sebanyak gerak-geri Anwar termasuk rancangan 16 Sept 2008 mahu mengambil alih kerajaan pusat.
Zulkifli pula mendedahkan isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia. Zulkifli mendedahkan telah ditawarkan ganjaran lumayan untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu empat tahun lalu.
Ekoran pendedahan itu, Najib mengadakan pertemuan dengan kedua-dua mereka di Washington ketika lawatan ke Amerika Syarikat.
Kongres PKR dijangka membincangkan pendekatan untuk menangani masalah keluar dan lompat parti di Kota Bharu hujung minggu ini.
Minggu lalu Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh memberi tempoh notis sebulan kepada mereka yang ingin keluar parti sebelum pihaknya menjalankan proses penjenamaan semula selepas Kongres Nasional Keenam. – MALAYSIANINSIDER

Kongres PKR lambang keutuhan parti - Saifuddin

PENGKALAN CHEPA, 24 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan mengadakan kongres kali keenam pada 28 hingga 30 Mei ini adalah menjadi lambang keutuhan parti, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail (gambar).

Kongres itu akan diadakan di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC) yang disertai kira-kira 2,000 perwakilan dari seluruh negara.

Demikian dinyatakan Saifuddin ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah isu semasa anjuran Urusetia Kerajaan Negeri Kelantan bertempat di Kampung Pauh Panji, malam tadi.

Beliau berkata, tema kongres kali ini ialah ‘Harapan Baru Selamatkan Malaysia’ di mana tumpuan akan diberikan kepada ucapan dasar presiden yang akan mengulas empat perkara iaitu isu-isu disiplin dan organisasi, PKR dan prestasi negeri-negeri Pakatan Rakyat, isu-isu pilihan raya dan isu-isu semasa.

“Presiden juga akan menyentuh isu semasa dan memberikan penjelasan yang panjang lebar berkaitan isu membabitkan Yang Berhormat meninggalkan parti,” ujar beliau lagi.

Katanya, isu lompat parti disentuh secara terperinci oleh presiden dan perwakilan akan diberi masa secukupnya untuk membahaskan pelbagai isu semasa dalaman parti dan kongres kali ini akan menyaksikan 206 perwakilan cabang yang akan hadir.

“Perbahasan kali ini akan diberi ruang secukupnya dengan memberi tumpuan kerangka ucapan dasar presiden dan penutup kongres pada 30 Mei akan disampaikan oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Sementara itu, bagi mengisi program sebelah malam, dua ceramah perdana akan diadakan iaitu di Tanah Merah yang akan dihadiri oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang manakala di Kota Bharu pada 29 Mei pula oleh tiga Menteri Besar iaitu Tuan Guru, Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Menyentuh isu keahlian semasa PKR kini, Saifuddin berkata, PKR kini mempunyai keahlian yang sah seramai 125,000 orang walaupun digembar-gemburkan dengan ahlinya yang keluar parti pada setiap kali pilihan raya kecil diadakan.

“Saya sangat berpuas hati dengan keahlian masa kini, tetapi ia tidak bermakna tiada ruang untuk menambahkan ahli dan usaha untuk menambah ahli semakin meningkat.

“Kongres kali ini juga akan menyentuh isu keahlian dan perwakilan akan diberi penerangan langkah untuk menarik ahli, jadi kongres ini juga akan mengingatkan kita kerja-kerja asas parti iaitu siap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Turut menyampaikan ceramah pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Adun Panchor dan Adun Pasir Tumboh, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Rabu, 26 Mei 2010

Umno-BN Baham Kekayaan Negara, Rakyat Bunuh Diri Dihimpit Kemiskinan

KUALA TERENGGANU 7 Mei - Di kala pimpinan Umno Barisan Nasional hidup kaya raya dan bermewah-mewahan dengan memunggah hasil kekayaan negara, terselit seribu satu macam kisah kepedihan dan penderitaan warga Malaysia yang masih dihimpit kemiskinan.

Laporan akhbar semalam menyiarkan berita mengenai seorang lelaki yang nekad membunuh diri kerana tidak tahan akibat hidup dalam kemiskinan dan kehilangan pekerjaan.

Khairudin Wazir Khan, 41, ditemui mati berlumuran darah di flet Sri Kolam, Kuala Terengganu dengan kesan tikaman di dada dipercayai menggunakan sebilah pisau lipat malam kelmarin.

Mayat Khairuddin ditemui rakan serumahnya dikenali sebagai Zamri, 36, dalam keadaan terlentang di bilik tidurnya selepas pulang bekerja, kira-kira jam 11.30 malam.

Allahyarham meninggalkan sekeping nota berbunyi ‘ayah minta maaf kerana terpaksa ambil jalan singkat bagi menyelesaikan masalah’ kepada anaknya sebelum menusuk dadanya.

Khairuddin dikatakan meninggalkan keluarganya di Setiu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan sehingga beliau diberhentikan dua bulan lalu.

Allahyarham yang kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dikatakan gagal mendapatkan sebarang pekerjaan baru dan terpaksa menumpang di bilik sewa rakannya di flet berkenaan.

Seorang jiran, Alias Muhammad, 43, berkata beberapa jam sebelum itu, Khairudin menceritakan kisah sedih kehidupannya kepada beberapa penduduk flet itu di gerai makan berhampiran.

Katanya, Khairudin memberitahu mereka dia berhutang sebanyak RM160 dan masih berhutang wang sewa rumah.

Polis mengesahkan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Perkasa Membisu Umno-BN Lulus Lesen Judi

SHAH ALAM 15 Mei - Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fariz Musa menyifatkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) cuma kuda tunggangan Umno-Barisan Nasional berikutan sikap pasif mereka terhadap keputusan Kementerian Kewangan yang meluluskan lesen judi sukan.

"Perkasa membisu terhadap isu kelulusan lesen judi, sebelum ini mereka mengatakan bahawa merekalah pembela agama, bangsa dan negara. Walhal, merekalah sebenarnya merupakan alat kepada Umno-BN," kata Fariz.

Beliau turut kesal dengan tindakan pihak polis yang menghalang perhimpunan aman membantah kelulusan lesen judi di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat semalam.

Menurut Fariz, kerajaan sememangnya tidak sensitif dengan sentimen masyarakat Melayu Islam dan bukan Islam yang turut menentang kelulusan tersebut.

"Tindakan kerajaan seolah-olah menggalakkan rakyat untuk terlibat dengan gejala negatif yang boleh merosakkan akhlak dan merosakkan institusi keluarga.

"Langkah kerajaan meluluskan lesen judi adalah satu taktik untuk mengayakan kroni mereka. Kerajaan Malaysia seolah-olah ingin menjadikan negara Malaysia sebagai pusat perjudian. Tidak cukup dengan Genting Highlands dan Bukit Tinggi, kita ingin ditambah pula premis judi di tempat-tempat awam.

"Umno-BN memang sengaja menggalakkan rakyat negara ini hidup dalam budaya yang tidak sihat," kata Fariz dalam nada kesal ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau juga mempersoalkan kelewatan Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria yang lambat memberikan respon terhadap perkara ini.

Tambahnya, Mufti Perak hanya memberikan maklum balas selepas melihat tekanan orang ramai terhadap keputusan tersebut.

Sementara itu, Suara Keadilan gagal menghubungi Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu tersebut.

AMK Jadikan Rosli Dhobi Ikon Generasi Muda Malaysia


Oleh Dzulkarnain Taib

SIBU 15 Mei - Angkatan Muda KEADILAN melancarkan Yayasan Rosli Dhobi bagi menyemarakkan semangat juang dan mengabadikan pengorbanan pejuang muda kemerdekaan itu yang dihukum gantung di Penjara Kuching 50 tahun dahulu.

AMK semalam mengadakan majlis tahlil dirumah keluarga Rsli dengan dihadiri kakak beliau, Yak Fatimah, 81, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Yayasan Rosli Dhobi yang dilancarkan di rumah bersejarah itu mendapat suntikan semangat apabila Khalid menyerahkan sumbangan RM10,000 bagi menampung urusan penubuhan yayasan tersebut.

Timbalan Ketua AMK Pusat, Fariz Musa berkata AMK berterima kasih kepada Menteri Besar Selangor atas sumbangan tersebut dan berharap akan mendaftar pertubuhan itu secepat mungkin.

"AMK akan menjadikan Rosli Dhobi ikon bagi anak muda dinegara ini. Semangat juang beliau pada usia begitu muda patut menjadi tauladan dan ikutan golongan muda yang dahagakan perubahan dalam senario politik Malaysia yang mjumud di bawah Umno-Barisan Nasional sejak 50 tahun lalu.

Rosli Dhobi dijatuhkan hukuman mati oleh penjajah Inggeris pada 2 Mac 1950 apabila didapti bersalah menikam Gabernor Inggeris, Sir Duncan Stewart dengan sebilah pisau beracun pada 1948.

Beliau dihukum mati bersama tiga rakan lain dan jenazah mereka disemadikan di Tanah Perkuburan Penjara Kuching sebelum dipindahkan ke Sibu dalam tahun 1996 dengan penuh istiadat negeri Sarawak.

Walau bagaimana pun sumbangan dan pengorbanan Rosli yang mengorbankan nyawanya pada usia 17 tahun tidak mendapat sebarang penghargaan mahupun pengiktirafan dari kerajaan SUPP-BN.

Tanah KTMB 271 Hektar Jadi Mangsa Kerakusan Umno-BN

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 25 Mei - Setelah menyerahkan dua padang minyak Blok L dan M secara senyapkepada Brunei dengan kehilangan potensi pendapatan negara sebanyak RM320 bilion , Umno-Barisan Nasional sekali meneruskan pengkhianatan terhadap Malaysia dengan menyerahkan aset KTM Berhad bernilai berbilion ringgit di Singapura kepada negara pulau itu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Tian Chua berkata Pakatan Rakyat kecewa kerana tidak dipanggil berbincang mengenai isu itu kerana ia merupakan perkara serius yang bukan sahaja melibatkan kepentingan KTMB tetapi maruah negara.

"Kita tidak menolak kerjasama dengan Singapura, tetapi isu ini melibatkan pembangunan dan keuntungan KTMB dan bukan sahaja melibatkan keuntungan syarikat tetapi juga maruah dan kedaulatan negara.

"Itu adalah tanah milik Malaysia dan ada sejarahnya. Kerajaan tidak boleh sebarangan menyerahkan tanah itu kepada negara lain. Saya menganggap perkara ini adalah sangat serius kerana apa yang dilakukan Najib dalam konteks ini sejak kebelakangan ini sebagai satu pengkhianatan kepada negara," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya, sebelum ini Malaysia terpaksa mengalah dengan menggadaikan kedaulatan Pulau Batu Putih kepada Singapura dan terbaru, kehilangan kawasan minyak Blok L dan M di Sabah.

"Penyerahan blok M dan L kepada Brunei dan serah tanah milik KTMB kepada Singapura adalah merupakan satu siri pengkhianatan kepada rakyat. Dalam isu KTMB ini, isu tanah adalah isu kedaulatan negara," tegas beliau.

Bagaimanapun, Tian Chua tidak menolak sebarang perjanjian yang menguntungkan kedua-dua belah pihak seperti penurunan kadar tol di lebuhraya laluan kedua yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

"Tetapi kita pertikaikan mengapa perkara ini tidak dibincangkan dan dibawa ke parlimen kerana melibatkan perkara yang sangat serius seperti dalam isu perjanjian air dengan Singapura,"ujarnya.

Perjanjian bersejarah yang dikatakan termeterai di antara kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebenarnya harus perhalusi lebih mendalam samada ia benar-benar memberi keuntungan kepada Malaysia.

Tambah Tian, ini kerana dikatakan tidak ada hujah konkrit yang menyatakan isi perjanjian itu akan menguntungkan Malaysia pada masa panjang, selepas kerajaan tewas dalam banyak isu mmebabitkan kedaulatan negara.

Dalam perjanjian terbaru ini, Malaysia bersetuju menyerahkan tiga bidang tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah milik KTMB seluas 271 hektar kepada sebuah syarikat M-S Pte Ltd bagi tujuan pembangunan.

Syarikat usahasama Malaysia-Singapura yang bakal dibentuk selewat-lewatnya pada 31 Disember 2010 itu akan dimiliki oleh Khazanah Nasional Berhad dengan 60 peratus ekuiti dan Temasek Holdings Limited sebanyak 40 peratus ekuiti.

Sehubungan itu kerajaan Umno-BN pimpinan Najib Razak bersetuju memindahkan stesen KTMB di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Anwar Desak Najib Bentang Isu Tanah KTMB Di Parlimen Jun Depan

SHAH ALAM 25 Mei - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan kertas laporan berhubung isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad di sidang parlimen Jun ini.

Menurutnya, kerjasama dan hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dengan Singapura merupakan satu keutamaan namun penyelesaiannya harus didasarkan kepada prinsip ketelusan terutamanya apabila ianya membabitkan kepentingan nasional dan khazanah negara.

"Kita difahamkan bahawa isu tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad yang selama ini menjadi pertikaian di antara Malaysia dan Singapura telah diselesaikan semalam.

"Penyelesaian yang kononnya dikenali sebagai “Penyelesaian Muktamad” mengejutkan kerana beberapa persoalan berkaitan kepentingan negara di negara jiran itu adalah lebih rumit dan harus ditangani dengan teliti.

'Kenyataan bersama Najib kelihatannya mengakibatkan beberapa kepentingan negara seperti Stesen Keretapi Tanjung Pagar, beberapa keping tanah di Kranji, Woodlands, Tanjung Pagar serta Lot 76-2 mk 16, Lot 249 Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16 dipercayai merugikan negara," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar yang juga merupakan Ketua Umum KEADILAN menyatakan kegusarannya berhubung persefahaman yang dipersetujui oleh Najib yang mengumumkannya secara tergesa-gesa tanpa memberi maklumat terperinci.

"Sungguhpun dinyatakan tanah-tanah tersebut akan diamanahkan kepada sebuah syarikat yang bernama M-S Pte Ltd di mana Khazanah memiliki 60% dari kepentingannya, namun terdapat kemungkinan besar kepentingan terbabit akan ditukarkan dengan tanah di kawasan yang lain.

"Kita curiga nilai tanah yang ditukarkan itu sama ada di Marina South atau di Ophor Rochir itu tidak dapat menandingi nilai tanah milik KTMB," tambah Anwar.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menyuarakan kebimbangannya dengan pembabitan Khazanah Nasional yang menurutnya hanyalah sebagai alasan untuk meletakkan kepentingan syarikat kroni.

Pada masa yang sama, beliau juga mempersoalkan kebijaksanaan keputusan kerajaan kerana sebarang pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti pastinya tidak berupaya menjana kegiatan ekonomi domestik.

"Berapa ramaikan para pengusaha, kontraktor mahupun pembekal Malaysia yang bakal terlibat dengan pembangunan usahasama Syarikat M-S Pte Ltd itu? ," soalnya.

Anwar juga menggesa pentadbiran Najib segera menjelaskan secara terperinci maksud sebenar bahawa Points of Agreement(POA) di antara Singapura dan Malaysia boleh ditambahkan dengan terma serta syarat baru kononnya untuk memaksimumkan potensi tanah-tanah tersebut di Singapura.

"Kita juga mahukan penjelasan Najib menggunakan POA 1990 yang digariskan Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan ketika itu sedangkan ianya tidak mendapat persetujuan Kabinet.

"Kerajaan sewajarnya menjelaskan apakah kedudukan sebenar isu air serta wujudnya penyemakan semula harga air mentah yang kita bekalkan kepada Singapura?," soal Anwar lagi.

Selasa, 25 Mei 2010

SEKILAS DI PRK SIBU - ISU TANAH FOKUS KEMPEN AMK

JAZAKALLAH HASLAN KERANA PUBLISH GAMBAR BANNER NI KAT FACE BOOK. HASIL KERJA TANGAN SAYA SEWAKTU DI PRK SIBU. BOLEH SIMPAN JADIKAN KENANGAN .
KITA 'ALL OUT' PERANG ISU TANAH RAKYAT YANG 100 TAHUN MASIH BELUM SELESAI-SELESAI. MOJORITI PENDUDUK DI KG. DATU , KG. ILIR , KG. NANGKA SEHINGGALAH KE KG. SUNGAI ANTU MASIH BELUM MENDAPAT GERAN HAK MILIK .
TANAH TERSEBUT SEBENARNYA SEKARANG ADALAH TERLALU TINGGI HARGANYA SEBAB BERADA DALAM BANDAR SIBU . BAYANGKAN KALAU RM30,000 UNTUK 1 POIN. KALAU 100 POIN BERAPA ? JUTAWAN !
TAIB MAHMOD , PBB DAN BN TERUS MENAFIKAN HAK RAKYAT . SETIAP KALI PILIHANRAYA DIMOMOKKAN DENGAN JANJI MANIS MU.
AMK SEWAKTU PRK SIBU TELAH MENCABAR TAIB MAHMOD UNTUK BERDEBAT DAN KITA TELAH MENGHANTAR SURAT SECARA RASMI DI IBUPEJABAT SUPP . DITERIMA OLEH NAIB PRESIDEN SUPP.
KITA LANTIK SDR NAZIB , KETUA AMK SARAWAK UNTUK BERDEBAT DENGAN TAIB MAHMOD .
15 MEI 2010 , KITA SEDIAKAN MEJA YANG BERLAMBANGKAN BN UNTUK TAIB MAHMOD TURUN KE IDAMAN CAFE . LAWAN DENGAN ANAK MUDA BERNAMA NAZIB SEDANGKAN TAIB MAHMOD LEBIH DARIPADA 20 TAHUN MENJADI KETUA MENTERI.
MALANGNYA TAIB MAHMOD TIDAK TURUN BAGI BERDEBAT ISU TANAH . KENAPA MASIH BELUM SELESAI . ALHAMDULILLAH SAYA DIMAKLUMKAN OLEH YB FAUZIAH SALLEH , PENGARAH JPRP BAHAWA SEMUA PETI UNDI DUN NANGKA ( MAJORITI MELAYU - MELANAU ) YANG SELAMA INI DIDOKTRINKAN OLEH BN DAN MEDIA MILIK UMNO - DAP KOMUNIS TELAH MENINGKAT SOKONGAN KEPADA PR / DAP .
SUDAH SEMAKIN RAMAI MENYELAMI KEBERANIAN ROSLY DHOBY MELAWAN PENJAJAH BARU ! LAWAN TETAP LAWAN !

Bubar Dun: Umno Diingat Jangan Ambil Risiko

. Ahad pada pukul 2.21 pagi
Dari Harakah Daily
Oleh Mohd Shubihi Muhamad Zain

Umno BN diingat jangan terlalu mengambil risiko menyerang negeri-negeri Pakatan Rakyat dengan kaedah memujuk Adun PR lompat parti, kerana tiada jaminan Umno BN akan menang pada pilihan raya umum nanti nanti.

Ahli Majis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat, Datuk Johari Abdul (gambar) berkata, beliau juga tidak nampak strategi Umno BN itu akan membuahkan kejayaan, apatah lagi mahu merampas kembali pentadbiran negeri yang telah dimenangi PR dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Mereka (BN) juga jangan ambil risiko dan ingat mereka hebat, kalau pun diadakan pilihan raya jangan ingat BN akan menang, belum tentu BN akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas serangan terhadap negeri Kedah sehingga kerajaan negeri menganjurkan ceramah khas isu bubar Dun malam ini.

Menurutnya, isu pembubaran Dun Kedah hanyalah mainan politik Umno dan perang psikologi mereka terhadap kerajaan PR Kedah.

Umno selaku pembangkang di negeri itu katanya menjadi tidak tentu arah apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya mengawal dan mentadbir negeri dengan baik.

“Mereka mencipta berbagai fitnah, usaha dan helah untuk memporak-perandakan kestabilan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai oleh Ustaz Azizan, namun kerajaan negeri mampu menahan asakan tersebut dengan baik.

“Malam ini, insyaAllah, kita akan himpunkan kesemua Ahli Parlimen dan Adun untuk buktikan kepada rakyat bahawa kita sentiasa berdiri teguh di belakang Ustaz Azizan,” katanya ketika ditemui semasa menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Liga MB Kedah di Padang Guar Chempedak, tengah hari tadi.

SEBELUM INI BLOG L DAN M KEPADA BRUNEI , SEKARANG 6 BIDANG TANAH KEPADA SINGAPURA

Pakatan Rakyat hari ini menggesa kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan manfaat di sebalik pertukaran enam bidang tanah di Tanjong Pagar dengan dua kawasan di Singapura.

Bagaimapun, keputusan yang dicapai oleh Najib dengan rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien... Loong itu dikhuatiri berakhir seperti krisis di wilayah Limbang.

"Kami, setelah berlakunya pertukaran di Limbang iaitu dua blok L dan M di perairan Sabah dan Sarawak, cukup khuatir dan mahu persoalan ini dilihat daripada perspektif menyeluruh," katanya kepada TV Selangor.

Najib hari ini bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

Malaysia juga akan menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzufkefly Ahmad mengingatkan Najib betapa era ‘hanya pemimpin tahu semua perkara’ sudah berakhir.

Dalam erti kata lain, beliau berkata, kerajaan harus menilai dan mengambil kira pandangan pihak lain dalam memastikan kedaulatan dan kepentingan negara tidak dikesampingkan begitu sahaja.

"Era pemimpin tahu sudah berlalu, lebih-lebih lagi dalam membuat keputusan yang bersabit dengan kedaulatan, kepentingan, negara dan rakyat. Jadi, jangan mudah-mudah dilakukan tanpa analisis, tanpa kajian mendalam," katanya.

Kata Dr Dzul, Najib harus telus dan terbuka dalam soal perjanjian yang termeterai antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Sabtu, 22 Mei 2010

" kenapa teruk parti mung fariz ? "

Itu soalan yang menerjah di cuping telinga saya tengahari tadi . Kawan lama yang dah lama tidak berjumpa . Saya menjawab dengan tenang , walaupun dalam keadaan panas terik selesai sahaja demontarsi aman membantah lesen judi sukan .
Saya bertanya ; kenapa ahli Parlimen atau ADUN PKR sahaja yang ramai melompat ? Kenapa ahli PKR yang jadi sasaran untuk melompat ?
Saya bersetuju memang teruk dan teramat teruk . Tetapi kenapa PKR yang menjadi sasaran ?
Yang pasti sebab PARTI INI PARTI DIPIMPIN OLEH ANWAR IBRAHIM ! Yang mungkin ada yang menyebut parti Anwar ! Kerana itulah ianya menjadi sasaran kepada UMNO/BN untuk merosakkan imej dan kredebiliti Anwar Ibrahim . Pandangan saya sekiranya Anwar partinya ialah PAS atau DAP , maka ahli Parlimen dan ADUN PAS dan DAP yang akan menjadi sasaran mereka . Ada berkata , MP/ADUN PAS tak akan macam itu, mereka sudah baiah dan ditarbiyah! Saya setuju , tetapi selagi bernama manusia , pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Belum tentu.
Saya yakin UMNO/BN akan guna pelbagai pendekatan termasuk habuan jutaan RM sepertimana berlaku kepada ahli Parlimen / ADUN dari PKR . Mencari ahli Parlimen / ADUN dari PAS atau DAP yang bermasalah sekiranya parti PAS atau DAP adalah parti dipimpin oleh Anwar .
Anwar dilihat memimpin Pakatan Rakyat . Anwar digeruni bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia . Parti Anwar ialah PKR ! maka tidak hairan mereka memberikan tumpuan ahli Parlimen / ADUN PKR sebagai sasaran untuk mereka melompat mengikuti Ibrahim Ali .
Mereka sanggup tawarkan jutaan RM , menyelesaikan masalah hutang atau kewangan , termasuk jaminan keduniaan .
Apabila timbul keraguan , rasa kurang senang di kalangan ahli-ahli PR di semua peringkat , maka UMNO/BN telah berjaya . Mereka akan pastikan kita pecah . Menyalahkan satu sama lain . Pakatan menjadi longgar dan mungkin berderai . Anwar akan menjadi bahan persenda dan kemarahan dikalangan penyokong PAS dan DAP . Misi dan Visi UMNO / BN BERJAYA ! Merosakkan dari dalam . Dikalangan kita sendiri . Kita masuk dalam jerat yang telah mereka pasang . Suara-suara sumbang dan sumbing mula kedengaran . Kepimpinan Anwar dari PKR akan dipertikaikan . " Kerana parti kamu lah !"
Kita hilang Perak kerana 2 ekor katak daripada PKR yang melompat . Desas-desus , kabar angin akan lompat lagi daripada PKR di Kedah . Seorang demi seorang ahli Parlimen/ADUN PKR disebut akan melompat . Kenapa dari PKR ? Kenapa tidak daripada PAS atau DAP ? Terutama setiap kali PRK ada yang menjadi KATAK ! Sebab parti ini parti dipimpin oleh Anwar Ibrahim .
Malah saya sendiri di fitnah akan melompat parti ! Usaha menimbulkan keraguan dan ketidak kepercayaan kepada saya . Kepada kami pemfitnah cukuplah... malah saya pernah dihubungi sewaktu PRK Hulu Selangor ... "Fariz ,mahal sekarang ni, tak nak ke? Kau dapat apa ? Anwar bagi kau apa?". Jawapan saya cukup mudah , " SAYA TIDAK AKAN MENINGGALKAN PKR,ANWAR IBRAHIM DAN PERJUANGAN SAYA INI".
Mereka tidak mahu atau mensasarkan PAS dan DAP . Misi mereka ialah PKR . Ada suara menyatakan PAS tidak apa, sebab PAS sokong 'Unity Goverment'. PAS dan DAP mereka hanya perlu mainkan lagu " Negara Islam", "Hukum Hudud". PAS dan DAP akan wujud ketegangan dan akhirnya pecah , seperti sejarah DAP tinggalkan Barisan Alternatif kerana isu negara Islam!
Sasaran mereka adalah Anwar Ibrahim dan PKR . Kerana PKR dilihat berpotensi mengugat UMNO/BN terutama di Parlimen dan DUN di kawasan bandar dan pinggir bandar . Soladiriti Pakatan Rakyat secara kolektif mesti dipecahkan . Hilangkan keyakinan rakyat kepada PKR . PRU akan datang PKR tidak akan menang kerana calon-calon PKR diragui dan tidak diyakini oleh rakyatn. Keraguan akan mula timbul dikalangan PR dalam menentukan kerusi Parlimen dan DUN . Kita akan bergaduh dalam perbincangan pembahagian kerusi . Itu misi dan Visi UMNO/BN ! PR tak akan ke Putrajaya dan Anwar tak akan jadi PM !
Kerusi PKR majoriti di kawasan campuran ( Melayu + Cina + India ) . Potensi di kawasan campuran membolehkan PKR akan mampu mengorak langkah ke Putrajaya bersama PR. Ini yang ditakuti oleh UMNO/BN . Kawasan campuran , UMNO/BN masih gagal menjuarai hati rakyat . PRU yang lalu memperlihatkan PR menang di kawasan campuran . Malah ada yang menang bergaya . Demografi dan populasi menunjukkan terdapat banyak kawasan yang berstatus "campuran". Kemenangan Sibu kepada DAP/PR menambahkan kerisauan UMNO/BN. "Nyawa" mereka di Sabah dan Sarawak.
Bagi UMNO/BN , mereka masih selesa di kawasan majoriti melayu . Saingan mereka adalah PAS . Mereka tidak risau kerana bagi mereka orang melayu masih mampu di'beli'. Mereka ada felda dan kem tentera atau undi pos yang menjadi 'talian hayat' kepada UMNO/BN . Sebab itu banyak parlimen dan DUN yang majoriti Melayu , PR kalah . PRK Hulu Selangor boleh dijadikan panduan .
Karektor , kredibiliti Anwar dan PKR serta penyatuan PR mesti dihancurkan . Mereka hendak melihat kita pecah dan hancur berkecai. Sebab itu sasaran mereka adalah PKR . Mereka tidak perlu mensasarkan 'peluru' mereka kepada PAS dan DAP. Cukup serangan bertalu-talu dan bertubi-tubi kepada PKR .
Justeru kita jangan alpa , jangan kita mudah terpengaruh dengan taktik serta strategi licik mereka. Sekiranya kita terpengaruh dan masuk dalam 'jerat' mereka , UMNO/BN sudah pasti akan bertepuk tangan kerana 'umpan sudah mengena' . Untuk hidup dan lihat berguna oleh UMNO/BN , Ezam dan kawan-kawannya akan berusaha merealitikan harapan dan impian tersebut.
Saya tidak risaukan mereka yang sudah menjadi katak melompat , berpinar mata dengan longgokan wang ringgit dan janji kebendaan . Sehingga sanggup menjual maruah dan harga diri , meninggalkan prinsip , mengkhianati perjuangan . Kerana kita sudah tahu prinsip dan kedudukkan mereka. Serangan mereka sudah diskripkan . Kita bertempur di gelanggang politik terbuka .
Kebimbangan saya ialah mereka yang menjadi pengkhianat dan petualang dari dalam . Menjadi DURI DALAM DAGING , API DALAM SEKAM , GUNTING DALAM LIPATAN , MUSUH DALAM SELIMUT menjadi MUNAFIQ dalam parti. Menghancurkan daripada dalam , meruntuhkan dan memporak porandakan dari dalam . bagi saya itu lebih bahaya . Lebih menakutkan. Seperti 'anai-anai' memakan dari dalam dan akhirnya runtuh sebuah rumah menyembah bumi. 'Iblis' dan 'syaitan' ini tak hancur dengan ayat Qursi!
Saya tidak menafikan sebarang pandangan . Ada yang menyatakan "ini proses pembersihan". Saya setuju. Ada pandangan yang bersifat kasar dan negatif. Ada kebenarannya dan ada kesilapannya . Ada yang menyebut pasal baiah , tarbiyah dan sebagainya . Saya bersetuju dan tidak menolak sebulat-bulatnya . Ada Presiden sebuah parti yang nombor wahid tarbiyahnya pun keluar parti dan menyertai UMNO/BN . Namun apa jua pandangan saya terima .
Jangan mudah kita melatah , jangan kita pecah dan musnah . Kita wajib membina kekuatan bersama . Berfikiran positif dan memahami politik secara luas . Saya setuju 'politik adalah persepsi' . Tetapi bila otak kita telah di haru birukan dengan ujian sebegini , kita jadi sesak dan menyesakkan. Sabar dan tenang .
Semoga Allah memberikan kekuatan .

DEMO BANTAH LESEN JUDI SUKAN YANG DILULUSKAN OLEH UMNO/BN

21 Mei 2010 - Selesai solat Jumaat tengahari tadi , saya turut hadir ke program perhimpunan / demontrasi aman bertempat di hadapan Masjid Kg. Mengadang Baru , Marang , Terengganu . Ratusan yang hadir menyatakan pendirian membantah tindakan kerajaan UMNO/BN yang dipimpin oleh Najib Razak yang juga selaku Menteri Kewangan meluluskan lesen judi sukan .
Saya turut diberikan ruang untuk menyampaikan ucapan . Saya dengan jelas menyatakan tindakan UMNO/BN dengan meluluskan lesen judi sukan ini dengan meletakkan agama di tapak kaki. Gejala judi yang akan menyebabkan berlaku keruntuhan akhlak,moral serta institusi keluarga. Keputusan meluluskan lesen judi baru ini membuktikan Najib yang merupakan agen yahudi , kerana yahudi suka kepada perjudian .
AMK turut menyatakan ketegasan bersama-sama Dewan pemuda PAS Terengganu menentang tindakan tersebut . Saya meminta rakyat bangkit menentang keputusan ini dan mendesak agar lesen judi ini ditarik balik .

Jumaat, 21 Mei 2010

sajak karangan rosli dhoby

Panggilan-Mu yang Suci

Wahai pemuda harapan bangsa
Segeralah bangun membuatkan jasa
Kebangunanmu menyedarkan Melayu bangsa
Kehalusan kemajuan aman sentosa

Wahai pemuda bercita suci
Kekalkan Sarawak negara kita yang asli
Meskipun bagaimana ancaman terjadi
Hendaklah sehidup semati

Mengibarkan bendera menggambarkan hati
Menunjukkan rupa bangsa dan negeri
Mengenangkan hak di tanah air sendiri

Wahai pemuda yang bersemangatkan gelisah
Insaflah pada perjuangan bangsa
Lambat-bangat ditakzir Allah
Bangsa dan tanah air tetap merdeka

Nota: Petikan sajak ini telah ditulis oleh Rosli Dhobi dengan menggunakan nama samaran Lidros